Tun M Jual Maruah Untuk Selamatkan Diri - Annuar


KOTA BHARU - Kesanggupan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi kuda tunggangan DAP bukan untuk selamatkan Malaysia, sebaliknya bagi kepentingan diri sendiri.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata matlamat untuk menyelamatkan Malaysia hanyalah pembohongan semata-mata, sebaliknya mahu merampas kembali kuasa Perdana Menteri bagi menjaga kroni beliau.

Katanya, sebelum ini calon Parlimen Langkawi itu mendakwa DAP dan Lim Kit Siang adalah rasis dan anti Islam, tetapi hari ini membuat pusingan U atas alasan mahu selamatkan Malaysia.

"Saya tidak kesal Dr Mahathir mengkritik kerajaan, tidak sependapat dengan Perdana Menteri serta meninggalkan parti, tapi apa yang tidak boleh diterima dan dikesalkan, beliau sanggup menggadai prinsip serta maruah terhadap DAP yang secara jelas menentang apa yang dilakukan UMNO sejak dulu lagi.

"Anak cucu bakal menjadi saksi jika musnah apa yang diperjuangkan UMNO dengan keringat dan air mata selama ini demi orang Melayu dan Islam yang sememangnya dari dulu ditentang DAP.

"Dr Mahathir yang hilang platform dan talian hayat, terpaksa bersama DAP bukan bermakna beliau percaya (kepada DAP) tapi bagi mencapai matlamat untuk merebut kuasa Perdana Menteri dan menjaga kroni," katanya pada Ceramah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kadok di sini, malam tadi.


Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan calon DUN Kadok, Mohammad Azam Ismail.

Annuar yang juga calon BN Parlimen Ketereh, berkata DAP adalah rakan paling kanan dalam komponen pakatan pembangkang kerana mempunyai kerusi paling banyak apabila semua tempat yang ditandingi berpotensi menang menjadikan parti itu dominan bagi menentukan dasar.

"Keadaan ini adalah bahaya besar... ada orang kata DAP tidak bahaya sebab parti kecil, namun setakat ini terbukti di Dewan Rakyat apabila banyak dasar ditentang sehinggakan kemahuannya tidak dapat dihalang kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li menyatakan keyakinan Kelantan akan dirampas kembali daripada PAS selepas parti itu gagal melaksanakan kemajuan sepanjang 28 tahun memerintah.

"Kita lihat sokongan rakyat Kelantan terhadap BN semakin bertambah kerana kebanyakan mereka mahu pulang dan bekerja di negeri ini.

"Jika kita mahu wujudkan peluang pekerjaan, kita kena tukar kerajaan kerana kita boleh membawa masuk perusahaan yang boleh beri peluang kepada anak muda," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com