Tular Dua Beranak Daif Dari Kulim Kini Penerima Bantuan Zakat


KULIM - Keluarga daif di Kampung Merbok, Sedim yang tular di Facebook adalah penerima bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Pegawai Zakat Daerah Kulim, Mohd Khairi Ishak berkata, dua beranak itu, Mazlan Abdullah, 37, dan ibunya, Jariah Othman itu menerima bantuan sara hidup daripada zakat tahun lalu sebanyak RM500 sejak 2015.

Menurutnya, dua beranak ini juga turut menerima bantuan JKM sebanyak RM350 dan RM400 setiap bulan.

“Kita telah beri bantuan kepada mereka dan bantuan yang diperlukan juga mereka terima, isu tak bagi bantuan tidak benar seperti yang disebarkan dalam Facebook.

“Kita juga sekali lagi melawat keluarga ini, untuk melihat situasi sebenar mereka dan memberi sumbangan serta-merta termasuk makanan keperluan asas,” katanya.

Katanya, keluarga ini juga berada di bawah pemerhatian Pejabat Zakat Daerah Kulim dan Penolong Amil Kariah Selarong Panjang tahun ini.

“Keluarga ini juga akan dipertimbangkan untuk baik pulih rumah tahun ini. Malah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mendapatkan motosikal roda tiga dan telah diluluskan, namun disebabkan masalah komunikasi, bantuan tersebut tidak diambil,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membangkitkan isu yang tidak tahu kesahihan sumber kerana akan memberi persepsi buruk kepada pihak terlibat.

“Biarlah Ramadan kita tahun ini disambut dengan sama-sama kita tabayyun kisah-kisah sedih masyarakat yang kononnya tidak menerima sebarang bentuk bantuan menyebabkan timbulnya persepsi buruk masyarakat kepada pihak terlibat,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai dua beranak daif tinggal di Kampung Merbok, Karangan tidak mendapat bantuan daripada pihak bertanggungjawab termasuk zakat untuk menyara kehidupan mereka.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com