Tular Dakwaan GST Mansuh 1 Jun Tidak Benar


KEMENTERIAN Kewangan menafikan dakwaan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan berkuat-kuasa pada 1 Jun 2018, sepertimana yang ditularkan di laman sosial hari ini.

Kementerian itu dalam kemaskini terbaharu di laman Facebook berkata kenyataan yang menyalahgunakan nama kementerian itu mengenai pemansuhan cukai tersebut adalah palsu dan tidak benar.

“Pada masa ini kerajaan belum menetapkan tarikh pemansuhan GST.

“Sehubungan itu semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi perundangan semasa dengan mengenakan GST seperti yang ditetapkan,” tulis Kementerian Kewangan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Terdahulu, kenyataan itu mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan untuk memansuhkan cukai berkenaan selepas kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pada 9 Mei lalu.

Kenyataan palsu itu juga mendakwa ia sebagai hadiah kepada rakyat menjelang hari Raya Aidilfitri, dan kerajaan akan memulangkan semua kutipan GST bermula 9 Mei 2018.

Turut disebutkan tiada cukai baharu yang dikenakan sepanjang dua tahun pertama pentadbiran PH dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya akan diperkenalkan semula pada tahun 2020.

PH dalam manifesto PRU-14, berjanji akan memansuhkan GST dalam masa 100 hari sekiranya mereka diberi mandat membentuk kerajaan Persekutuan. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com