Tular Baju Ibu Menyusu, Erry Berterima Kasih Pada Netizen


GARA-gara baju Melayu keluarannya kelihatan seperti busana ibu menyusukan anak, pelakon Erry Putra berterima kasih kepada seorang wanita yang telah memuat naik gambar bajunya di laman Twitter baru-baru ini sehingga tular di media sosial.

Erry atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Hamzah @ Ahmad telah menjalinkan kolaborasi bersama dengan UA Butik bagi mengeluarkan produk baju Melayu bersempena Aidilfitri ini.

“Sejak petang semalam, beberapa keping foto memperlihatkan saya dan adik tiri saya menggayakan baju berkenaan mula tular di pelbagai laman sosial.

“Berdasarkan komen netizen, ramai berpendapat, rekaan baju Melayu itu menyerupai pakaian yang direka khas untuk kemudahan ibu menyusukan bayi mereka,” katanya dipetik daripada sebuah portal.

Malah bagi pelakon berusia 40 tahun itu, dia langsung tidak marah dengan netizen yang mempersendakan rekaan baju berkenaan kerana ia langsung tidak menjejaskan perniagaannya malah hasil jualan pula semakin meningkat secara mendadak.


Jelas Erry, rekaan baju berkenaan telah menggabungkan tiga baju tradisi yang mewakili tiga kaum utama di Malaysia iaitu baju Melayu, kurta dan samfu.

Dalam masa yang sama, ia merupakan kolaborasi pertama Erry bersama butik berkenaan dan hasil rekannya telah dicapai melalui perbincangaan antara kedua-dua belah pihak.

Baju berkenaan telah dikeluarkan dalam 20 warna pilihan dengan tiga rekaan yang berbeza serta orang ramai boleh mendapatkannya di butik yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam atau terus ke laman Instagram mereka sendiri.

Bukan sahaja Erry yang telah bekerjasama dengan UA Butik, malah atlet bina badan negara iaitu Sazali Samad turut mengeluarkan koleksi baju Melayu tahan lasak.

Ia cukup sesuai digayakan oleh golongan lelaki yang bertubuh sasa kerana dalam masa sama menggunakan fabrik tahan lasak. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com