Tukar Kerajaan Tidak Semudah Tukar Kereta - PM


KUALA BERANG - Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak boleh ditukar sekerat jalan hanya disebabkan mahu menukar Perdana Menteri kerana ia akan merencatkan pembangunan dirancang untuk manfaat rakyat.

Perdana Menteri berkata, menukar kerajaan bukan semudah menukar kereta kerana ia membabitkan pentadbiran negara.

"Jangan tukar kerajaan sebab kita hendak buat perubahan... tak boleh sekerat jalan tukar (kerajaan), sekerat jalan tukar, tak boleh. Kalau kita buat pilihan salah, kerajaan tidak boleh laksanakan pembangunan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat bersama warga Hulu Terengganu di Dewan Komuniti Kuala Berang di sini, petang semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; dan barisan Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Hulu Terengganu.

Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata beliau tidak mahu sebarang masalah dalaman yang boleh menjejaskan peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya tak nak ada masalah dalaman, tak nak ada cah keting, peteh keting. Saya minta kalau ada perubahan (calon) pun terimalah sebab itu keputusan parti," katanya.

Beliau juga berkata, Hulu Terengganu adalah contoh komitmen tinggi kerajaan dalam memajukan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan yang mencipta peluang ekonomi untuk penduduk.

"Kalau dulu BN menang 4-1, kali ini kita mahu 5-0. Saya tengok Kuala Berang ini membiru (BN) maka saya rasa insya-Allah tahap keyakinan saya masih tinggi Hulu Terengganu ini kubu kuat BN.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita sudah lakukan yang terbaik dalam lima tahun ini. Saya tak kata segala-galanya tidak ada kepincangan atau kelemahan.. saya manusia biasa.

"Tetapi kalau kita lihat kerajaan BN sudah bawa perubahan besar dalam lima tahun ini. Sudah tiba masa kita minta mandat baharu daripada rakyat supaya dalam masa lima tahun lagi, kita boleh angkat martabat Malaysia dan kita julang ke tahap tertinggi," katanya.

Najib berkata, beliau terkilan dan musykil apabila pembangkang meletakkan semua kegagalan ke atas bahunya, termasuk perniagaan kedai roti Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditutup kerana muflis.

Perdana Menteri turut membidas Dr Mahathir yang melabelnya sebagai zalim kerana hakikatnya beliau yang mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menahan beratus orang.

Bagaimanapun, pentadbiran Najib memansuhkan akta berkenaan.

"Semua nak hempap atas kepala Perdana Menteri...sampai kedai roti (milik Dr Mahathir) bankrap pun salah PM (Perdana Menteri).

"Takkanlah kedai roti tutup pun salah PM. Beliau pun dalam masa 10 hari asyik bertukar kenyataan. Masa zaman baik dengan saya dia (Dr Mahathir) beritahu buka kedai roti dan ajak saya tengok kedai dia.

"Alih-alih dia kata tak ada kedai pula. Apabila orang tengok Suruhanjaya Syarikat Malaysia akhirnya dia mengaku dia punya (kedai).

Perdana Menteri berkata, apabila tiba waktu pilihan raya, rakyat perlu memilih pemimpin yang mampu memberi manfaat, yang boleh dijadikan tempat bersandar dan bermanja.

Dalam pada itu Najib berkata, hasrat pembangkang mahu membatalkan Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) hanya akan memusnahkan ekonomi negara.

"Kalau dibatalkan, (nanti) kerajaan China kata kami tak mahu hantar pelancong ke Malaysia, apa jadi?

"China juga pembeli terbesar kelapa sawit kita. Kalau dia kata China tak akan beli kelapa sawit kita, nanti FELDA pun tersungkur dan tertiarap," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com