‘Tsunami Melayu’ DAP Ibarat Burung Dipipiskan Lada


KUALA LUMPUR – “Tsunami Melayu” yang cuba direncanakan DAP dengan memperalatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ibarat ‘burung dipipiskan lada”, menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. 

Beliau berkata hasrat itu tidak akan menjadi kenyataan kerana tsunami Melayu semakin gagal dan berhadapan kesulitan kerana ada pemimpin PH dilihat tidak mendapat sokongan di kubu sendiri termasuk di kawasan majoriti Melayu sehingga berpindah-randah ke tempat lain selain kekuatan PAS yang dilihat semakin menggugat gabungan PH di seluruh negara.

“Sebenarnya DAP sedar tidak mudah ingin pecahkan undi Melayu. Kerana itu mereka meletakkan orang lain (dari parti lain) di hadapan untuk berkempen dan mereka (DAP) pula terus memperkukuh kubu yang dibina selama ini bagi mengekalkan pengaruh.

“Mereka juga sedar, talian hayat adalah pengundi asal dan hanya memperguna orang lain untuk mendapatkan undi Melayu sebagai tambahan dan sokongan. Jika kempen cara ini gagal, DAP tidak rugi apa-apa berbanding watak-watak lain (PPBM, PKR dan Amanah) dalam PH,” katanya sewaktu ditemui Bernama baru-baru ini.

Dr. Wan Azizah yang sebelum ini anggota Parlimen Permatang Pauh, berpindah ke kawasan kononnya selamat iaitu Parlimen Pandan selain anaknya, Nurul Izzah Anwar berpindah dari kerusi Parlimen Lembah Pantai ke Parlimen Permatang Pauh.

Annuar yang juga calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Ketereh pada PRU14 ini berkata DAP sedar, untuk berjaya dalam kempen tsunami Melayu, parti itu perlu memperalat Dr Mahathir yang jelas mempunyai dendam dan sentimen peribadi kepada UMNO dan BN.

Jelasnya, hanya dengan melalui modus operandi ini, DAP akan lebih berkuasa dalam politik khasnya di dalam PH dan pengundi khasnya daripada golongan Melayu perlu bangkit dan sedar daripada terus terpedaya dengan agenda gagasan “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan DAP selama ini yang antara lain akan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

“Adakah rakyat akan membiarkan DAP berkuasa selepas PRU14? Buatlah perbandingan dengan BN, dan fikirlah siapa yang terbaik sebelum membuat keputusan pada hari pengundian nanti,” katanya.

DAP dilaporkan mengaku memperalat Dr. Mahathir untuk meraih undi Melayu dan ini terbukti apabila calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Prof. Dr. Ramasamy secara terang-terangan membuat pengakuan bahawa apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir sebelum ini sememangnya tidak boleh dimaafkan dan tidak akan dilupakan.

“Dulu dia jahat, orang kata kenapa kita (PH) terima Mahathir. Bukan kita lupakan apa yang dia buat dulu, saya pun tidak boleh lupakan, kita pilih Mahathir untuk tarik orang Melayu support (sokong),” kata Ramasamy dalam satu ceramah baru-baru ini yang dimuat naik dalam https://therakyat.com/2018/05/01/dap-mengaku-peralat-tun-m-untuk-raih-undi-melayu/.

Pada PRU13, Annuar mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan mendapat 26,912 undi, mengalahkan calon PKR, Abdul Aziz Abdul Kadir.

Pada PRU14 ini, Annuar akan dicabar Dr. Mohd Radzi Md Jidin daripada PKR dan Wan Ismail Wan Jusoh dari PAS melibatkan pengundi seramai 65,238 orang. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com