Trump Ucap Tahniah Kepada Mahathir Sebagai PM


KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Rumah Putih dalam kenyataan dimuat naik menerusi akaun Facebook Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada Khamis, berkata Trump juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas penyertaan mereka dalam kempen pilihan raya yang sengit dan aman.

“AS berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam memperkukuhkan hubungan menyeluruh antara AS dan Malaysia serta menangani cabaran antarabangsa dan serantau,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut hubungan Washington-Kuala Lumpur sudah sekian lama terjalin antara rakyat dan rakyat yang berkongsi nilai-nilai demokrasi dan hubungan komersial.

Mahathir mencipta sejarah pada Khamis, apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua pada usia 92 tahun.

Pelantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia, susulan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Rabu lepas. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com