Trio Sabotaj Parti Bukan Ahli Veteran UMNO


TINDAKAN tiga bekas menteri iaitu Tun Daim Zainudin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Dr. Rais Yatim yang lantang kritik parti di pentas pembangkang akhir-akhir ini memang dianggap jengkel.

Bagaimanapun langkah trio pemimpin UMNO tersebut menyebabkan pihak pembangkang melemparkan tohmahan jahat konon generasi lama parti itu tidak sehaluan kepimpinan sekarang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub tampil menerusi kenyataan media untuk beri pencerahan mengenai isu tiga tokoh berkenaan yang tiada kena-mengena dengan mereka selama ini.

Malahan kumpulan veteran tersebut ujar beliau kesal dengan tindak-tanduk Daim, Rafidah dan Rais sambil seru lebih 800,000 ahlinya terus teguh sokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini.

Berikut ialah kenyataan penuh:

1. Veteran UMNO ingin menegaskan bahawa apa yang dipetik oleh media yang menyebut Rafidah Aziz, Daim Zainudin dan Rais Yatim sebagai ‘Veteran UMNO’ adalah tidak tepat dan tidak mewakili suara dan tindakan veteran yang mempunyai organisasi tersusun dibawah UMNO. Mereka adalah bekas pemimpin UMNO atau bekas menteri yang bertindak atas kapasiti mereka dan bukan atas nama veteran walaupun mereka veteran UMNO. Oleh itu apa saja kenyataan dan perbuatan mereka tidak ada kena mengena dengan Veteran UMNO.

2. Bagaimanapun, Veteran UMNO amat kesal dengan tindak tanduk mereka akhir-akhir ini yang jelas membuktikan mereka adalah jenis kacang lupa dan kulit dan tidak tahu berterima kasih kepada parti dan pucuk pimpinan. Apakah mereka lupa jawatan menteri yang mereka sandang sebelum ini adalah kerana mereka ahli UMNO?. Apakah mereka lupa kesenangan yang mereka nekmati sekarang adalah kerana jawatan mereka dalam kerajaan yang mereka perolehi kerana UMMO? Apakah yang mereka ada sekarang masih belum cukup sehingga mereka sanggup menggigit tangan tuan yang menyuapkan makanan kepada mereka?.

3. Semua orang tahu apa yang Rafidah dapat ketika menjadi Menteri MITI. semua orang tahu apa yang Daim dapat semasa menjadi Menteri MOF. Semua orang tahu apa jawatan Rais selepas tidak menjadi menteri yang dianugerahkan Najib kepadanya.

3. Veteran tahu Rafidah dan Daim adalah penyokong tegar Mahathir sejak dari dulu. Apakah kerana menjadi penyokong tegar maka mereka turut menyokong usaha Mahathir untuk menumbangkan UMNO/BN dalam PRU14?. Dimana kesetiaan mereka kepada parti yang telah menempatkan mereka sebagai menteri sebelum ini?. Apakah UMNO/BN seperti tebu yang bila habis manis sepah dibuang?.

4. Sesungguhnya perbuatan mereka amat memalukan bangsa Melayu. Mereka yang sepatutnya tampil menyokong kepimpinan sedia ada sanggup menjadi pengkhianat. Oleh itu Veteran UMNO Malaysia menyeru 800,000 ahli veteran diseluruh negara supaya jangan terpengaruh dengan tindak tanduk mereka yang mahu merosak dan menghancurkan UMNO/BN.

Sekian.

DATUK HJ MUSTAPHA YAAKUB
Setiausaha Agung
Veteran UMNO Malaysia.

7 Mei, 2018

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com