Tolak Cara Maki Hamun, Bawa Agenda Rakyat Dan Masa Depan Negara


LANGKAWI - Politik di negara ini sewajarnya lebih bertumpu kepada agenda-agenda yang dirancang dan bakal dilaksanakan untuk rakyat dan membawa perubahan positif kepada masa depan negara, bukan dengan menggunakan pendekatan memaki hamun.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan kaedah mencaci atau mengeluarkan kata-kata kesat tidak sewajarnya digunakan kerana cara itu lebih berpaksi kepada nilai moral yang sangat rendah.

"Saya tidak pilih pendekatan untuk mengutuk, mencaci ataupun mengeluarkan kata-kata kesat. Saya sepatutnya boleh (berbuat demikian) sebab yang menentang saya mengamalkan cara seperti ini.

"Tapi saya memilih untuk bercakap secara berhemah dan menerangkan kepada tuan-tuan tentang agenda kita. Kerana pada saya, politik bukanlah harus berkisar kepada nilai moral yang begitu rendah sekali.

"Kita patut berkisar kepada agenda kita untuk rakyat. Agenda kita untuk masa depan negara kita. Agenda untuk membawa transformasi dan perubahan. Siapa punya agenda yang lebih baik lagi, siapa punya agenda yang lebih diyakini, siapa sebenarnya yang boleh 'deliver' perubahan dan transformasi yang dihasratkan oleh kita.

"Itu sebenarnya merupakan kayu pengukur muktamad dalam apa juga kita lakukan. Sebab itulah malam ini saya akan tumpukan kepada agenda kita," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama di majlis Santai Industri Pelancongan Langkawi Bersama Perdana Menteri di sini malam tadi.


Berucap di depan kira-kira 2,000 hadirin, Mohd Najib menyenaraikan sebanyak 18 agenda utama Barisan Nasional (BN) yang bakal dilaksanakan di pulau Langkawi dalam tempoh 5 tahun yang akan datang.


Dalam majlis itu, Mohd Najib turut dianugerahkan sebagai "Bapa Transformasi Pelancongan Langkawi" oleh Persatuan Pelancongan Langkawi yang dianggotai oleh seramai 1,636 ahli tetap & 6,360 ahli bersekutu yang aktif dalam industri pelancongan di pulau ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksektufnya, Dato' Zainuddin Abdul Kadir, anugerah berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri yang telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong daripada 1.5 juta kepada 3.67 juta dan menjana pendapatan penduduk tempatan sebanyak RM4.7 bilion sepanjang mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

Turut di majlis berkenaan adalah Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, calon-calon BN untuk Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan DUN Air Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com