Tokong Then Sze Diberi Status Pemilikan Tanah


SEREMBAN – Anthony Loke Siew Fook yang dinamakan sebagai Menteri Pengangkutan memberi jaminan bahawa Tokong Then Sze, sebuah tokong berusia 154 tahun dan merupakan antara tokong tertua di Negeri Sembilan, akan diberikan status pemilikan tanah.

Beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dalam masa terdekat untuk menyelesaikan isu status pemilikan tanah di tokong berkenaan.

“Tokong ini bukan hanya tempat beribadat tetapi juga sebagai tarikan pelancong. Sebagai anggota Parlimen Seremban, saya akan pastikan setiap tahun kita akan memberikan peruntukan untuk memulihara tokong ini. Saya akan gunakan peruntukan kawasan saya kepada tokong ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tokong berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata akan terdapat satu portfolio baharu dalam kerajaan Negeri Sembilan iaitu Hal Ehwal Bukan Muslim.

“Exco baharu dengan potfolio baharu hal ehwal bukan Islam, ia dinyatakan dalam manifesto kami … banyak isu yang dihadapi tokong, gereja dan kuil Hindu,” katanya.

Loke berkata setelah dinamakan sebagai Menteri Pengangkutan, beliau tidak akan menjadi salah seorang exco kerajaan negeri.

“Saya sudah memberikan nama-nama (calon Exco) kepada menteri besar dan biarlah menteri besar yang mengumumkan formasi kerajaan negeri,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com