TNB Siapkan 47 Rumah Baiti Jannati Di Kedah Setakat 2017


ALOR  SETAR - Sebanyak 47 rumah dapat disiapkan menerusi projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kedah sehingga 2017 sejak program itu dimulakan  pada 2008.

Pengurus  Besar Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Pembahagian TNB Kedah, Ismail Lathifi Teh berkata, ia membabitkan kos sebanyak RM2.076 juta dengan penerima  dipilih daripada kalangan Orang Kelainan Upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin yang menetap di luar bandar.

"Pada 2018, TNB memperuntukkan RM750,000 untuk 15 orang penerima bantuan dan sebahagian rumah mereka sudah siap sejak dibina pada Februari lepas, kita  harap mereka dapat menjalani kehidupan lebih selesa menjelang Ramadan dan Aidilfitri di rumah baharu nanti," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan perdana Projek Baiti Jannati TNB 2018 peringkat negeri di Alor Merah, di sini, semalam.

15 orang penerima bantuan itu turut menerima  kunci rumah masing-masing yang disampaikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ismail Lathifi berkata, Baiti Jannati adalah program tanggungjawab sosial korporat TNB sejajar dengan saranan kerajaan untuk membantu membaiki rumah kediaman golongan yang memerlukan agar kehidupan mereka lebih sempurna.

"Secara  dasarnya, penerima bantuan ini ialah daripada golongan yang layak menerima zakat (asnaf) dan rumah yang hendak dibaiki atau dibina baharu itu pula mesti sangat usang dan uzur, selain tidak mendapat bantuan seumpamanya daripada mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata, rumah projek Baiti  Jannati membabitkan keluasan 20 kaki lebar dan 32 kaki panjang menelan kos kira-kira RM50,000 dengan dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air selain tikar getah, langsir, meja makan.

Sholehah Mohd Arop, 54 dari Jalan Sekolah, Alor Merah berkata, beliau bersyukur kerana terpilih menjadi antara penerima bantuan itu selepas rumah pusakanya musnah dalam kejadian kebakaran pada Disember lepas.

"Selepas  kejadian itu kami menumpang di rumah saudara terdekat dan tidak mampu membina rumah baharu kerana saya hanya mengambil upah mengasuh anak saudara serta menjaga ibu yang uzur, rasa seronok dan syukur sangat kerana kami akan berpuasa dan berhari raya di rumah baharu yang selesa," katanya.

Seorang  lagi penerima, Mohd Hisham Omar, 49, yang mengalami kecacatan di kedua-dua kakinya bersyukur  kerana dapat menetap di rumah baharu bersama isteri Hayati Baharom, 47 yang juga cacat pada bahagian mata.

"Rumah  kami sebelum ini ibarat  reban ayam, dan tak ada siapa boleh duduk sebab reput dan berlubang melainkan kami yang tinggal di situ. Syukur, TNB  begitu prihatin dengan apa yang kami lalui dan saya harap bantuan ini dapat diperluaskan lagi," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com