Tingkap Kokpit Pecah, Pesawat Mendarat Cemas


TINGKAP kokpit yang pecah secara tiba-tiba menyebabkan sebuah pesawat membawa 128 orang membuat pendaratan cemas di barat daya China kelmarin.

Menurut akhbar tempatan, ketika kejadian pesawat Airbus A318 milik syarikat penerbangan Sichuan Airlines itu sedang dalam penerbangan ke Lhasa di Tibet dari bandar Chongqing.

Juruterbang terpaksa mengubah haluan ke bandar Chengdu di wilayah Sichuan sejurus selepas tingkap kokpit pecah yang mencederakan pembantu juruterbang serta seorang kru.

Pengurusan Penerbangan Awam China dalam satu kenyataan berkata, insiden tersebut berlaku ketika pesawat terbabit melepasi Chengdu.

“Pembantu juruterbang itu mengalami kecederaan di bahagian muka manakala kru itu cedera ringan ketika pesawat mula mendarat,” katanya.

Seorang penumpang wanita yang tidak dimaklumkan identitinya memberitahu kemalangan itu berlaku sekitar sejam selepas pesawat berlepas.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku kepada juruterbang, kami berhutang kepadanya untuk menyelamatkan semua orang dan bimbang dia,” ujarnya.

Punca insiden tersebut masih lagi dalam siasatan.

Sebanyak 119 penumpang dan sembilan kru kapal berada dalam pesawat tersebut. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com