Tindakan Tun M Cuba Lawat Kubur Nik Aziz Kepuraan-Puraan Tahap 'Extreme' - Najib


PEKAN - Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba menziarahi makam bekas Mursyidul Am PAS Allayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini hanyalah untuk dijadikan modal politik dan meraih undi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu juga merupakan tindakan demi meredakan kemarahan masyarakat, khususnya ahli keluarga mereka yang terkorban dalam Peristiwa Memali, ekoran kenyataan Tun M yang mengatakan kesemua 14 orang itu ‘mati katak’.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga merupakan kepuraan-puraan pada tahap paling dahsyat sekali.

“Kalau dia (Tun M) ikhlas, kenapa tak lawat (makam), selama ini. Kalau dah ikhlas tunggu lepas PRU lah lawat, inilah orang dia kutuk selama ini.. (Dulu) dia kata Nik Abdul Aziz terlalu tua patut berhenti…dia tak sedar Nik Abdul Aziz lagi muda dari dia.

“Lepas itu, yang mati di Memali dia kata mati katak. Itulah yang kesilapan besar dia, sehingga orang dah marah, keluarga dah marah, orang yang mati Memali dihina macam tu sekali,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Warga Gugusan Felda Chini, di sini hari ini.

Pada 3 Mei lepas, Tun Mahathir sewaktu dalam ceramah di Lembah Pantai, dilaporkan sebagai berkata, kesemua 14 mangsa kejadian Peristiwa Memali itu tidak patut dianggap mati syahid, sebaliknya beliau berkata mereka semua ‘mati katak’.

Ucapan itu mengakibatkan kemarahan orang ramai, terutamanya ahli keluarga mangsa, hingga menyebabkan beliau membuat permohonan terbuka keesokan harinya.

Sementara itu, dalam ucapannya di hadapan kira-kira 1,000 warga FELDA, Najib turut mengingatkan mereka bahawa hanya BN yang komited dalam menjaga kebajikan peneroka.

“Saya nak beritahu DAP ini sayang kepada FELDA atau tidak? Boleh gantung harap ke nak perjuangkan Bumiputera? 

Apa akan jadi pada UiTM misalnya. Apa akan terjadi FELDA itu sendiri masa akan datang kalau dalam hati pimpinan negara tidak ada kasih sayang pada FELDA?.

“Sebaliknya saya insya-Allah jika diberi mandat untuk terus memimpin, FELDA memang tetap akan kita terus perjuangkan,” katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, Najib turut mengumumkan peruntukan RM14 juta bagi membuat kolam takungan air seluas 14 hektar untuk memastikan bekalan air di Gugusan FELDA Chini terjamin sepenuhnya.

Selain itu beliau turut melancarkan tapak Perumahan 1Felda di kawasan itu, yang akan menyaksikan pembinaan 3,701 buah rumah untuk peneroka.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com