Tiga Kanak-Kanak Maut, Empat Cedera Ditetak


BAGAN DATUK - Tiga kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tiga beradik yang maut berusia antara dua hingga lima tahun manakala empat yang parah termasuk ibu ketiga-tiga mangsa serta dua pelajar sekolah, bagaimanapun identiti masih belum dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata ketika kejadian, lelaki yang dipercayai kurang siuman menceroboh masuk ke sebuah rumah didiami tiga mangsa dan ibunya.

Katanya, suspek yang bersenjatakan parang melibas ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan hingga mengakibatkan kematian manakala ibu mangsa cedera parah.

"Dalam tempoh setengah jam kemudian, suspek menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad dan menetak dua pelajar sekolah dan seorang orang awam.

"Polis masih belum mengenal pasti semua mangsa yang cedera dan akan memaklumkannya dari masa ke semasa," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya menahan suspek berdasarkan maklumat orang awam dan merampas senjata digunakan suspek iaitu parang.

"Siasatan masih diteruskan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

"Sejak dua tiga hari lalu, dia kelihatan macam tidak berapa sihat dan kami tidak menyangka dia sanggup melakukan perbuatan yang sebegitu kejam di hari pertama berpuasa," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com