Tiada Maaf Bagimu Tun Mahathir, Kata Anak-Anak Ibrahim Libya


KUALA LUMPUR – “Tiada maaf bagi mu..,” itulah yang keluar dari mulut dua anak Allahyarham Ibrahim Mahmood, atau dikenali sebagai Ibrahim Libya yang maut dalam tragedi Memali kira-kira 33 tahun lalu.

Mohamad Islah, 42, dan adik bongsunya, Nurul Syuhada, 33, sependapat permohonan maaf oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Facebook sehari selepas berceramah di Lembah Pantai, di sini, malam kelmarin, sebagai tidak ikhlas.

“Permohonan maaf dari Tun Mahathir tidak cukup dan tidak menepati syarat. Sedangkan syarat taubat ada tiga, mesti tinggalkan maksiat dan kezaliman, dia kena insaf dan berazam untuk tidak melakukan kejahatan.

“Tapi kalau melibatkan dengan manusia, dia kena mohon dengan ahli keluarga.

“Kalau Tun Mahathir betul-betul nak minta maaf, (dia) boleh pergi ke rumah, tapi sampai sekarang Tun belum lagi jejak kaki ke bumi syuhada,” kata Mohamad Islah dipetik kenyataannya yang bersiaran langsung dari laman sosial Facebook Mohamad Zuhdi semalam.

Ketika berucap pada Ceramah Perdana bersama Calon PKR Parlimen Lembah Pantai di pekarangan PPR Kerinchi, Tun Dr. Mahathir dilaporkan mendakwa, 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai ‘mati katak’, bukan mati syahid.

Bekas perdana menteri itu mendakwa, ‘Amanat Haji Hadi’ pada 1981 yang menjadi punca berlakunya peristiwa hitam itu dengan membunuh pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.

“Amanat Haji Hadi ringkasnya menyuruh orang dia (Pas) supaya membunuh pegawai kerajaan, kononnya kerajaan kafir dan sebab itu dia menentang kerajaan kafir.

“Kononnya orang dia (Pas) yang mati dalam melawan kerajaan kafir ini akan mati syahid. Tragedi di Memali, mereka menembak mati empat orang polis dan selepas itu baru polis membalas balik dan mereka mati juga seramai 14 orang. Bukan mati syahid, mati katak,” Tun Dr. Mahathir dipetik sebagai berkata.

Menurut Mohamad Islah, beliau dan keluarga terkilan kerana kes itu dimainkan setiap kali pilihan raya umum, dan kali ini diungkitkan oleh orang berpengalaman memerintah Malaysia selama 22 tahun.

“Umur dah cecah 93 tahun, tapi seperti tidak ada rasa insaf terhadap diri sendiri. Kita tunggulah di mahkamah paling agung, Mahkamah Allah nanti,” katanya yang terkilan dengan kenyataan terbaharu Dr. Mahathir yang mengatakan orang yang terbunuh itu mati kata.

“Na’uzubillah, bayangkan kalau orang sebut begitu pada ahli keluarga kita, bagaimana perasaan kita,” katanya sedih.

Sementara itu, adiknya, Nurul Syuhada memberitahu, sebaik mendapat tahu kenyataan Tun Dr. Mahathir dan permohonan maafnya, beliau menghubungi ibunya di rumah memaklumkan perkara itu.

“Saya telefon ibu, minta ibu komen, dia menangis… saya sendiri pun menangis, sebab isu ini diangkat kembali dan dia cakap abah saya mati katak, ibu tak nak komen,” katanya.

Beliau yang mewakili anak dan ahli keluarga mangsa Memali menyifatkan permohonan maaf Tun Dr Mahathir tidak ikhlas dan mereka tidak akan memaafkan.

“Saya dan seluruh ahli keluarga mangsa tidak akan memaafkan Tun Dr. Mahathir. Kalau dia ikhlas, dia akan jumpa dengan ibu saya yang kini kurang sihat dan ada di rumah abang saya.

“Ibu cakap, bukan cara macam tu Tun minta maaf dan cara Tun bercakap juga bukan cara macam ni.

“Walaupun ketika kejadian saya umur 11 bulan, tapi mak selalu bercerita. Sebagai anak Ibrahm Libya, kami tak maafkan Tun selagi dia tak jumpa emak saya dan mangsa-mangsa memali,” tegasnya. 

Sumber – MalaysiaGazette

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com