'Tiada Isu Tak Hormat Ramadan' - MFL


KUALA LUMPUR - Isu tidak menghormati Ramadan sepatutnya tidak timbul kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah melakukan yang terbaik termasuk meminda waktu perlawanan bagi memberi ruang kepada pemain dan pegawai beragama Islam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang meneruskan liga ketika Ramadan sebaliknya negara Islam lain seperti Oman, Iraq dan Indonesia turut menjalankan perlawanan di sepanjang tempoh itu.

"Isu tidak menghormati (Ramadan) tak timbul. Jika (waktu  perlawanan) bertembung dengan waktu solat tarawih mungkin ada kontroversi, tapi kita sudah melewatkan perlawanan bagi memastikan ibadat dan sebagainya dapat dilakukan dengan sempurna.

"Malah, bukan setiap hari ada perlawanan, jadi saya rasa tiada isu. Semua pihak harus beri peluang kepada kami kerana faktor utama (meneruskan aksi di bulan Ramadan) ialah bagi mengelak jadual perlawanan menjadi padat.

"Bayangkan betapa padat jadual Liga M nanti jika perlawanan bulan ini dilangsungkan di luar Ramadan. Jadi kita juga perlu lihat kepada kebaikannya dan kita yakin bahawa untuk jangka masa panjang bila orang semua sudah biasa, isu ini tidak timbul.

"Kita menghormati sepenuhnya Ramadan, dan tiada niat atau apa-apa unsur negatif. Kita harapkan perkara ini tidak dijadikan sebagai perkara yang negatif kerana tiada isu yang timbul sebenarnya," katanya.


Sukan NSTP sebelum ini melaporkan bekas pemain Kedah dan kebangsaan, Radhi Mat Din mendakwa MFL tidak menghormati Ramadan dan merugikan pertandingan Liga M.

Malah, beliau turut meminta MFL mengkaji semula keputusan meneruskan pertandingan sepanjang Ramadan bagi membolehkan komuniti bola sepak beragama Islam, sama ada pemain mahupun penyokong memberi tumpuan kepada amal ibadat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com