Tiada Cuti Ganti Khas Guru Terlibat Pilihan Raya Umum


PASIR SALAK – Tiada peraturan yang membenarkan mana-mana guru dilantik sebagai petugas pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) layak mendapat cuti ganti pada keesokan harinya, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sebaliknya, guru-guru yang terlibat dalam PRU perlu memohon secara individu pada sekolah masing-masing sekiranya mahu mendapatkan cuti pada keesokan harinya.

“Daripada segi peraturan tak ada benda itu (cuti selepas terlibat dengan pilihan raya), maka apa-apa permintaan individu (guru) hanya kepada sekolah sahaja, mengikut kes tetapi kalau nak buat atas pakej kementerian itu memang tiada.

Individu itu mohon cuti kerana katalah dia bertugas pada hari pilihan raya sampai malam, nak kena kira undi dan esoknya dia nak minta cuti lagi, dia boleh minta pada pengetua atau guru besar, sebab individu (guru) ada cuti yang boleh dia mohon, 10 hari untuk satu tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Bicara Profesional Survival Ummah, Kecemerlangan Pendidikan Tanggungjawab Bersama di Dewan Besar Felcra Bandar Baru, Seberang Perak di sini, kelmarin.

Beliau mengulas permintaan Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (Kongres) yang memohon Kementerian Pendidikan mempertimbang agar sekolah yang terlibat dengan PRU14 diberikan cuti ganti pada keesokannya berikutan sebahagian guru akan bertugas di pusat penjumlahan undi sehingga lewat malam pada hari pengundian 9 Mei ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini telah membenarkan sekolah yang digunakan sebagai pusat mengundi pada PRU14 mengambil cuti berganti sehari sebelum hari pengundian.

Perkara itu dibenarkan mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 2 1995: Persediaan Bagi PRU, yang membolehkan pengetua atau guru besar memohon cuti berganti melalui pengarah pendidikan negeri masing-masing.

Sebanyak 6,971 sekolah di seluruh negara akan digunakan sebagai pusat pengundian pada 9 Mei.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata 41 guru dari gred DG32 hingga DG54 telah meletakkan jawatan selepas menjadi calon untuk bertanding pada PRU14 nanti.

Mahdzir berkata dari jumlah itu 15 daripadanya bertanding menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN), manakala selebihnya mewakili pembangkang. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com