Teruskan Tradisi Bubur Lambuk Sempena Ramadan


AYER HITAM - Meneruskan tradisi setiap kali Ramadan, Jawatankuasa Masjid Ar Rahman, Kerpan di sini bergotong-royong memasak bubur lambuk.

Setiausahanya, Sabri Safie berkata, setiap hari mereka menyediakan kira-kira 300 bekas bubur lambuk untuk diedarkan kepada ahli kariah.

Katanya, salah seorang AJK masjid berkenaan, Azimat Husain, merupakan tukang masak tetap bubur lambuk berkenaan.

“Resipi tu memang turun temurun keluarganya, jadi untuk sepanjang bulan puasa, dia yang akan uruskan,” katanya.

Menurutnya, mereka memperuntukkan RM200 sehari untuk membeli bahan masakan dan keperluan lain bagi menjayakan program berkenaan.

“Bagi saya, ia bukan sahaja membantu mengeratkan silaturahim sesama ahli kariah, malah turut meningkatkan jumlah jemaah di masjid pada waktu solat Asar,” katanya.

Sabri berkata, proses memasak bubur lambuk berkenaan mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Jadi selesai saja solat Zohor, kami dah mula memasak, sebab bahan-bahan mentah dah disediakan di sebelah pagi.

“Selesai sahaja solat Asar, kita dah boleh edar bubur kepada jemaah,” katanya, yang turut berterima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan sumbangan wang ringgit dan tenaga untuk menjayakan program bubur lambuk ini.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com