Terbukti Benar Kata-Kata Mahathir Dulu


DULU Tun Dr. Mahathir Mohamad terkenal dengan kata-kata hikmat “Tidak ada kawan dan musuh yang kekal dalam politik,” dan “Melayu mudah lupa”.

Dua kata-kata hikmahnya ini ialah mutiara kata beliau yang paling diingati hingga ke hari ini.


Sekarang ini, beliau melaksanakan sepenuhnya kata-katanya itu apabila duduk bersama bekas musuh politik dan bertanding menggunakan logo parti yang tertubuh hasil tindakannya.

Mahathir hari ini bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas perdana menteri ini duduk bersama “komunis-komunis DAP” dan bermesra dengan Mat Sabu dan Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar.

Mahathir melaksanakan kedua-dua kata-kata hikmatnya itu sekaligus dengan pakatan politiknya itu.

Sepanjang rakan-rakan barunya itu menentangnya dan perdana menteri selepasnya, tidak ada tajuk yang lebih besar daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Semua mangsanya itu terkesan oleh tahanan tanpa bicara ISA, yang diguna pakai secara sewenangnya semasa beliau berkuasa selama 22 tahun.

Kemuncaknya ialah selepas September 1998, apabila satu senarai panjang nama ditangkap dan dikenakan ISA.

Pasa zaman itu, tidak ada manusia yang lebih jahat daripada Mahathir, yang digelar diktator, mahafiraun dan bermacam gelaran jelik.

Hari ini semua bekas musuhnya itu sudah lupa, dan Mahathir mendapat layanan seperti seorang atuk yang dihormati dan disayangi.

Mereka lupa bahawa Mahathir ialah pengguna ISA yang paling rakus, dan orang yang mereka tentang mati-matian hari ini, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ialah orang yang memansuhkan ISA.

PM Najib memansuhkan akta yang mereka habiskan tempoh panjang karier mereka berjuang menentangnya.

Sepanjang zaman Najib, tidak ada lagi demonstrasi yang disembur gas pemedih mata, dihalang dan dipukul FRU.

Kalau dulu semasa zaman Mahathir dan juga zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, kekerasan terhadap demonstrasi dan ISA sesuatu yang biasa.

Semasa zaman PM Abdullah, demonstrasi besar-besaran juga diadakan menuntut ISA dimansuhkan.

Bagaimanapun, PM Abdullah tidak memansuhkan ISA, cuma berani menegur PM selepasnya, Najib, agar berani menghapuskan akta tahanan tanpa bicara itu.

Pembangkang lebih bebas bersuara dan semasa Najib sebagai PM, pembangkang berjaya mengekalkan negeri-negeri yang mereka kuasai sejak PRU12.

Jadi, apa isunya sehingga mangsa-mangsa ISA zaman Mahathir ini berpakat pula dengan diktator ini melawan pemimpin yang menghapuskan ISA?

Malah, dalam berkempen mereka juga mengatakan zaman Mahathir lebih baik berbanding zaman Najib, sehingga ada yang tergamak mengatakan rasa rindu pada zaman Mahathir.

Maka, betullah apa yang dikatakan oleh Mahathir itu, yang tidak ada musuh dan kawan yang kekal dan Melayu mudah lupa.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com