Tentera Syria Isytihar Damsyik Selamat Sepenuhnya Selepas Usir Daish


DAMSYIK - Sebuah kejiranan di Damsyik hancur dalam serangan pengeboman yang dilancarkan tentera Syria bagi mengusir militan Daish.

Menerusi operasi sama, tentera Syria berjaya menawan semula kawasan kejiranan terakhir di selatan Damsyik yang selama ini ditawan Daish.

Pihak tentera juga akhirnya mengisytiharkan ibu kota Syria dan kawasan sekitarnya selamat sepenuhnya daripada ancaman militan buat kali pertama sejak tujuh tahun lalu.

Selain itu, pihak tentera juga berjaya menawan semula kubu kuat militan Daish di kem pelarian Palestin di Yarmouk dan Hajar al-Aswad selepas berbulan lamanya merancang strategi menawan semula kawasan terbabit.

Penawanan besar-besaran tentera Syria di bawah kepimpinan Presiden Bashar al-Assad berjaya membentuk kerajaan Syria yang lebih besar termasuk kawasan pinggir bandar.

Ia sekali gus membolehkan mereka menguasai semula kawasan yang sebelum ini berada di bawah kawalan kerajaan sejak perang saudara tercetus pada 2011.

Menurut kumpulan pemerhati perang, sejumlah 1,600 lelaki bersenjata dari puak Daish meninggalkan kawasan yang ditawan mereka sebelum ini menuju ke kawasan padang pasir di timur negara itu setelah mencapai kata sepakat dengan kerajaan Syria.

Badan pemantau hak asasi manusia Syria yang berpangkalan di Britain juga melaporkan bahawa pasukan tentera kini mengosongkan kawasan perumahan militan Daish yang terakhir di kem pelarian Palestin di Yarmouk.

Sumber: Awani


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com