Teksi Minta Kerajaan Tak Sokong Grab


KUALA LUMPUR - Syarikat pengendali teksi, Big Blue Taxi Service Sdn Bhd meminta kerajaan supaya menyekat Grab Malaysia daripada terus beroperasi.

Penasihatnya, Datuk Shamsubaharin Ismail, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memberi sokongan mahupun bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-panggilan itu kerana pemandu teksi yang pernah berkhidmat dengannya pernah dianiaya.

Katanya sebelum kewujudan Grab, syarikat terbabit menggunakan aplikasi MyTeksi, dan mempermainkan pemandu teksi demi kepentingan sendiri.

"Suatu ketika dulu pemandu teksi menyokong penuh usaha MyTeksi namun selepas ia berjaya ke tahap tinggi, syarikat itu memperkenalkan pula perkhidmatan kenderaan membawa penumpang tanpa lesen.

"Tindakan itu menutup periuk nasi pengusaha dan pemandu teksi, apatah lagi ia beroperasi tanpa kawalan.

"Industri teksi juga meniti arus kemodenan dan bersetuju untuk menggunakan teknologi bagi perkhidmatan ini. Bagaimanapun banyak perkara yang perlu dikaji semula termasuk pengurusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)," katanya di sini, semalam.

Shamsubaharin juga meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meneliti semula isu berhubung industri teksi, e-panggilan serta undang-undang pengangkutan darat.

"Saya cadangkan, pihak bertanggungjawab ke atas isu ini untuk mengadakan rundingan bersama supaya perkara ini boleh dikaji semula.

"Kami setuju e-panggilan dikawal oleh SPAD atau pemain industri tempatan, namun syaratnya semua kenderaan harus mengikut undang-undang standard teksi," katanya.

Sebelum ini, Grab Malaysia mengeluarkan kenyataan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan baru, menyemak semula akta sedia ada bagi melindungi perkhidmatan e-panggilan dan teksi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com