Tanpa UMNO Orang Melayu Tiada Apa-Apa


SEGAMAT – Matlamat perjuangan UMNO dahulu hingga sekarang adalah sama iaitu untuk membela nasib orang Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini, kata Pengerusi Veteran UMNO Segamat Datuk Othman Jais.

“Yang membezakan perjuangan UMNO dahulu dan sekarang adalah semangat. Orang dahulu sanggup berkorban apa sahaja bagi menyokong perjungan parti,” kata warga emas berusia 71 tahun itu.

Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi Buloh Kasap selama enam penggal berturut-turut sejak 1981 itu berkata semangat perjuangan anggota UMNO dahulu adalah lebih tinggi daripada genarasi semalam.

“Generasi hari ini sepatutnya menggunakan kemewahan yang ada pada hari ini untuk kepentingan parti kerana jika dibandingkan dengan orang dahulu sanggup menghabiskan segalanya termasuk harta benda dan wang ringgit semata-mata untuk parti yang kita sayang,” kata bekas timbalan Speaker DUN Johor itu. kepada Bernama.

Seorang lagi anggota veteran UMNO, Alias Singet berkata UMNO lah hanya satu-satu parti yang mengubah nasib orang Melayu, yang mana tanpa UMNO orang Melayu tidak mungkin dapat hidup selasa, aman dan damai seperti yang dikecapi sehingga hari ini.

“Sebelum lahir parti UMNO, orang Melayu tidak bersatu padu dan tidak mengambil peduli hal orang lain seperti pepatah Melayu yang menyebut ‘Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’,” kata warga emas berusia 84 tahun itu.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Alias itu berkata pada zaman pemerintahan Jepun mahupun British, orang Melayu tidak bersatu padu dan hanya memikirkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

Beliau berkata bibit penyatuan orang Melayu hanya mucul apabila semua penduduk Segamat pada ketika itu berkumpul di Padang Besar Segamat apabila Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 bersama pemimpin lain meniup semangat untuk menubuhkan parti UMNO bagi mencapai kemerdekaan untuk Malaya.

“Pada ketika itu, semangat orang Melayu kepada UMNO cukup tinggi setelah merasai pahit berada di bawah penjajah sehingga tidak mampu melawan walaupun kepala dipijak sesuka hati oleh orang luar,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Pulau Paya berkata pada detik itu, semangat perpaduan orang Melayu marak seperti api yang naik menjulang-julang.

“Amat sayanglah jika generasi muda hari ini sanggup mengadaikan keamanan yang dikecapi hari ini semata-mata dengan alasan perbezaan idologi politik yang membawa kepada perpecahan orang Melayu.

“Jangan sampai generasi akan datang menanggung akibat daripada ego ini. Percayalah, perpecahan ini tidak akan membawa apa-apa makna. Jika dibiarkan, ia akan berlangsung tanpa penghujungnya,” katanya sambil membetulkan kopiah usang di kepalanya.

“Atuk masa ingat lagi pada tahun 1930-an orang Melayu hidup menderita. Nak makan susah, nak pakai pun susah, hidup dalam ketakutan di tanah air sendiri dan terpaksa berpindah dari satu kampung ke kampung lain bagi menyelamatkan nyawa masing-masing dengan berjalan kaki dengan makan beralaskan ubi kayu,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com