Tambahan Pegawai Imigresen Di Pintu Masuk Malaysia-Singapura Dari 8-10 Mei


JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Negeri Johor akan menghantar pegawai dan anggota tambahan di kedua-dua pintu masuk Malaysia-Singapura bermula 8 hingga 10 Mei sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pertambahan itu bagi melancarkan pergerakan perjalanan keluar masuk pengundi yang bekerja di republik itu, kata Pengarah Jabatan Imigresen Johor Datuk Seri Rohaizi Bahari.

Menurutnya, cuti peristiwa pegawai di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika juga sudah dibekukan bagi membolehkan pihaknya membuka kesemua kaunter menerusi kaedah pertukaran syif, melibatkan tambahan 300 anggota bagi satu hari.

"Setiap hari ada tiga syif, anggaran 100 orang dalam setiap syif. Kita di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ada 250 orang, di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) ada 100 orang satu syif, untuk membantu dari segi pergerakan lalu lintas dan sebagai pegawai pengganti," katanya dalam sidang media pada Ahad.

Jelasnya lagi, Imigresen juga akan membuka hampir kesemua 200 kaunter di Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) di BSI dan KSAB.

Beliau pada masa sama menasihatkan penunggang motosikal untuk menggunakan sistem M-Bike secara maksimum kerana pergerakan lebih cepat jika melalui sistem tersebut.

Kesemua pengundi, terutama yang menaiki motosikal juga perlu berhemah ketika melalui laluan CIQ untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Rohaizi juga memberitahu, vendor-vendor yang terlibat dalam teknikal bersama agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam akan turut bersama-sama bersiap sedia mengawal situasi kontigensi sekiranya berlaku kecemasan.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com