Tak Patuh Protokol, Mat Sabu Mohon Maaf


PETALING JAYA - Menteri Pertahanan baharu, Mohamad Sabu memohon maaf kerana kegagalannya mematuhi protokol sewaktu pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama di Kementerian Pertahanan, pagi Selasa.

Mohamad, ketika perbarisan itu, tidak berhenti memberikan penghormatan kepada Panji-panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

"Saya sedia maklum berkenaan perkara tersebut seperti yang telah ditaklimatkan kepada saya.

"Namun sebagai manusia biasa kita juga tidak lari dari melakukan kesilapan," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Menurut presiden parti Amanah itu, dia masih lagi dalam proses memahami aspek protokol ketenteraan memandangkan hari ini merupakan hari pertamanya memegang jawatan berkenaan.

"Insyaallah, saya akan cuba melakukan yang terbaik demi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia secara keseluruhannya," ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan, selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mohamad melapor diri di Kementerian Pertahanan awal hari ini dan mengetik kad perakam waktu pada 9.42 pagi

Turut hadir menyaksikannya Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abd Rahim Mohamad Radzi.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com