Tajul Urus Mampu Terus Bangunkan Merbok


MELIHAT karisma yang ada pada Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain sa-ma ada sewaktu berbahas di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun ketika turun mendekati rakyat, tiada sebab untuk mana-mana pihak menafikan yang beliau sememangnya layak untuk diangkat ke Dewan Rakyat selaku Ahli Parlimen Merbok pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai sebelum ini, banyak manfaat diterima penduduk di situ dan antara yang paling mencuri tumpuan adalah pembinaan 300 unit rumah nelayan dengan kos lebih RM48 juta yang dianggap sebagai hadiah kerajaan kepada penduduk setempat.

Selain itu antara pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan adalah pembinaan Masjid al-Makmur di Sungai Lalang berjumlah RM2 juta, pemasangan lampu jalan luar bandar sebanyak 800 unit, pembinaan jalan tepi Sungai Muda dari Simpang Pokok Machang ke Kuala Sin berjumlah RM3.18 juta serta projek naik taraf ban dan pintu kawalan pasang surut serta kerja berkaitan di Skim Pengairan Terkawal Ban Merbok Daerah Kuala Muda bernilai RM22 juta yang telah membantu mengatasi masalah banjir di kawasa sekitar.

Dari aspek kebajikan pula, asal dimaklumkan berlaku bencana seperti banjir di mana-mana, Tajul Urus pada bila-bila masa bersedia turun padang untuk meninjau keadaan bagi menghulurkan bantuan selain mencari jalan mengatasi masalah yang timbul.

Dan selaku pemimpin yang bertanggungjawab, beliau yang turut menjawat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri sebelum ini tidak pernah lari daripada berdepan dengan rakyat apabila turut mengadakan sesi dialog bersama penduduk di beberapa kawasan termasuk di Dewan Orang Ramai Desa Kurnia Jaya, Bedong, baru-baru ini.

Bagi musuh-musuh politik beliau, antara modal yang paling sering digunakan untuk menyerang beliau adalah isu masalah air yang sering dihadapi oleh penduduk di sekitar Merbok.

Namun perlu diingat, penyelesaian berhubung perkara itu sudah diusahakan Tajul Urus menerusi beberapa projek yang sedang berjalan ketika ini iaitu pembinaan tiga takungan air tambahan, menjadikan keseluruhannya bakal ada lima di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, membabitkan kos RM50 juta.

Selain itu pembinaan sebuah tangki gergasi yang mampu menampung penyimpanan 10 juta liter air juga akan dil-aksanakan dengan peruntukan RM19 juta yang meliputi kerja penggantian paip lama.

Ketika projek-projek ini sedang berjalan, maka jelaslah rakyat di situ akan mengalami kerugian sekiranya mereka tidak mengundi Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan Tajul Urus memegang mandat lebih besar pada 9 Mei nanti.

Perlu diingat, mengundi tidak boleh dibuat bersandarkan sentimen semata-mata sebaliknya perlu ditimbang ber-pandukan realiti semasa mengenai kemampuan sebenar bakal pemimpin yang akan diangkat bagi membawa suara rakyat.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com