Syed Saddiq Ajak Calon BN, PAS Debat Hujung Minggu Ini


MUAR – Calon Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempelawa dua lagi calon parlimen itu, Datuk Seri Razali Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dan calon PAS, Abdul Aziz Talib, untuk berdebat hujung minggu ini.

Untuk tujuan itu, calon dari PPBM itu akan menghantar surat kepada penyandang kerusi Parlimen Muar dan Abdul Aziz.

“Saya harap mereka akan bersetuju. Topiknya, siapa yang pengundi akan pilih untuk kerajaan Putrajaya, mungkin akan diadakan di Muar,” katanya kepada pemberita selepas sebuah majlis ceramah di Parit Jawa dekat sini malam tadi, yang turut dihadiri Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Muhyiddin meminta ahli PPBM supaya menerima sesiapa sahaja calon yang telah dipilih untuk bertanding dengan hati terbuka.

“Ini masa kritikal. Terima sahaja, apa yang penting kita mahu menang. Tidak jadi masalah siapa pun yang kita letakkan sebagai calon,” kata beliau ketika mengulas mengenai bantahan PPBM Bahagian Pengerang mengenai pencalonan Ketua Srikandi PPBM Johor Norliza Ngadiran untuk kerusi Parlimen Pengerang.

PPBM Bahagian Pengerang dilaporkan sebagai berkata bantahan itu dibuat berikutan Norliza dikatakan bakal muflis selain calon itu disifatkan sebagai orang luar kerana menetap di Pontian. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com