Syamsul Debat Ucapkan Tahniah Kepada Aminuddin


KUALA LUMPUR - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Negeri Sembilan, Syamsul Amri Ismail, 41 akan terus bergiat dalam lapangan politik walaupun cubaan pertamanya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), gagal.

Beliau yang turut dikenali sebagai Syamsul Debat antara 22 calon muka baru BN yang bertanding pada PRU-14 di Negeri Sembilan.

Syamsul berkata, beliau akan tetap meneruskan aktiviti seperti biasa selain menyampaikan ceramah motivasi dan menyebarkan dakwah kepada orang ramai.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Aminuddin Harun, calon PKR yang menang kerusi DUN Sikamat.

"Mudah mudahan mereka akan dapat meneruskan agenda pembangunan di Sikamat dan Negeri Sembilan. Menang dan kalah adalah adat pertandingan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya mengenai pembabitan beliau dalam arena politik seterusnya, Syamsul berkata, beliau masih lagi meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban.

Menurut Syamsul Debat, beliau redha dengan ketentuan Ilahi malah menerima dengan baik selain menganggap semua perkara pasti ada hikmah disebaliknya.

Katanya, sepanjang berkempen, rakan dan penyokong mengharapkan kemenangannya di DUN Sikamat.

"Tetapi peraturannya jelas, yang memperolehi majoriti akan menang. Jadi, saya harap semua dapat menerima kekalahan ini dengan tenang.

"Saya mengucapkan terima kasih dengan usaha jentera BN yang berusaha di dalam PRU-14 ini. Saya dan keluarga menerima kekalahan ini dengan hati yang terbuka. InsyaAllah, saya akan tetap meneruskan undangan ceramah di masjid dan surau dan kontrak bersama stesen televisyen," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com