Suspek Amuk Tetak Mati 3 Kanak-Kanak Tiada Rekod Sakit Mental


BAGAN DATUK - Suspek yang menetak mati tiga kanak-kanak dan mencederakan empat mangsa lain dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Muhamad, di sini, petang semalam, tidak mempunyai rekod sakit mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun dipercayai berhalusinasi dan mendengar bisikan sebelum kejadian berlaku.

"Polis menahan lelaki terbabit berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad selepas suspek melepaskan parang panjang yang dipegangnya.

"Semakan awal mendapati suspek yang juga rakan sekerja kepada tiga kanak-kanak yang dibunuh, tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta tiada rekod rawatan sakit mental," katanya ketika dihubungi, semalam.

Yahya berkata, pihaknya akan menahan reman lelaki terbabit untuk siasatan lanjut, termasuk menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti sama ada suspek positif dadah atau sebaliknya.

"Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Ketiga-tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat esok, manakala ibu mangsa serta anak sulungnya kini dirawat di Hospital Teluk Intan.

"Ibu mangsa mungkin akan dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, tiga beradik, Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, maut akibat ditetak.

Ibu kanak-kanak terbabit, Zuraidah Md Ali, 35, putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus, manakala anak sulungnya, Nur Zuryn Faziera, 9, cedera di kepala dan tangan kanan.

Rakan sekolah Nur Zuryn Faziera, dikenali sebagai Aina, 9 dan guru agama dikenali sebagai Riduan, 40, turut dicederakan dalam kejadian itu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com