Suasana PRU-14 Beri Ilham Kepada Mamat Khalid


IPOH - Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid antara beberapa karyawan kelahiran Perak tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Mamat yang mengundi di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Sungai Rokam.

Beliau yang sudah kali keempat mengundi bagi kawasan Parlimen Gopeng dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di sini, keluar mengundi jam 4.30 petang tadi bersama-sama isterinya Hasmah Hassan.

"Abang dah sampai awal pagi tadi, tetapi bila lihat orang ramai beratur abang pergi sarapan dahulu dan minta kawan maklumkan bila keadaan di pusat mengundi sudah tidak sesak lagi.

"Abang tunggu punya tunggu kawan tak telefon, jam 4 petang baru dia telefon beritahu sudah tidak ramai orang, barulah abang bergegas datang," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, keadaan pusat mengundi yang ramai orang itu menunjukkan satu tanda yang baik di mana rakyat tidak melepaskan peluang untuk menunaikan kewajipan masing-masing sebagai rakyat Malaysia.

"Kalau abang beritahu nampak sangat abang ini dah tua, tapi sebenarnya abang dah empat kali mengundi masuk kali ini.

"Kelainan yang lihat kali ini adalah dari segi 'mood' dan apa yang abang suka apabila kedua-dua pihak antara kerajaan dan pembangkang masing-masing menghujahkan bagaimana untuk mentadbir negara jika mereka dipilih lagi atau mereka dilantik.

"Pada abang yang bagusnya pilihan raya ini barulah keluar manifesto yang hanya akan menguntungkan kita (rakyat), tidak kiralah pihak mana tetapi yang pentingnya menguntungkan kita...itu petanda baik," katanya.

Sementara itu, Mamat turut mengakui senario politik dan pilihan raya kali ini memberi ilham kepadanya untuk membuat cerita komedi mengenainya.

"Abang memang ada satu cerita khas untuk undi ini, tetapi apabila abang semak skrip abang takut abang kena tangkap nanti, tetapi ia cerita komedi.

"Dengan masyarakat sekarang ini yang lebih maju dan lebih faham abang akan buat juga cerita undi ini yang abang rasa banyak insiden yang lucu mencerminkan bagaimana kita rakyat begitu ghairah memilih tampuk kepimpinan baru," katanya.

Menurutnya, beliau juga akan menyelitkan unsur pengajaran membabitkan penceritaan bagaimana tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan tanggungjawab sebagai pemimpin yang lebih besar serta berharap ia mendapat sambutan kelak.

Seorang lagi artis yang turut mengundi adalah Ikram Dinzly yang menunaikan tanggungjawab itu di Sekolah Rendah Agama Rakyat Osmaniah, di Kampung Tenngku Hussein Tambahan, di sini bagi Parlimen Tambun dan DUN Manjoi.

Ikram berkata, ia kali kedua beliau mengundi dan agak berbeza serta sukar membuat pilihan berdasarkan keadaan semasa, namun percaya pilihan dibuatnya adalah yang terbaik demi kesejahteraan negara.

"Harapan saya kepada kerajaan yang akan memerintah kelak cuma satu sahaja, di mana tidak perlu pembangunan yang terlampau hingga berlaku pembaziran apa yang perlu dilakukan adalah perbaiki yang sedia ada termasuk seni warisan, budaya, adat resam dan agama," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com