Stesen Minyak Petronas Bakal Buka 50 Cawangan Pandu Lalu KFC


KUALA LUMPUR – Pe­tronas Dagangan Bhd. (Petronas Dagangan) me­nyasarkan untuk membuka 50 cawangan pandu lalu KFC di stesen minyak Petronas seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Bahagian Perniagaan Runcit Petronas Dagangan, Aadrin Azly berkata, pelan yang dilaksanakan dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Bhd. (QSR Brands) itu adalah sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan pengalaman pe­langgan bagi kedua-dua jenama tersebut.

“Sebagai permulaan, pada tahun ini, kami akan membuka dua cawangan pandu lalu KFC di lokasi terpilih dengan maklumat berkenaannya akan di­umumkan kelak.

“Pada masa akan datang, ia akan diperluaskan ke seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak, bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara QSR Stores Sdn. Bhd. dan Pe­tronas Dagangan di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Datuk Mohd. Ibrahimnuddin Mohd. Yunus; Naib Presiden Pemasaran Perniagan Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed M. Tahir dan Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

QSR Brands merupakan pe­ngendali lebih 1,250 rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja.

Setakat ini, terdapat 15 cawangan pandu lalu KFC di stesen minyak Petronas seluruh negara.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, ia dijangka diperluaskan kepada kira-kira 100 cawangan.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com