SPR Kedah Sediakan Khemah Tambahan Sebagai Saluran Pengundian


ALOR SETAR - Ekoran pertambahan jumlah pemilih di beberapa kawasan di negeri ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri akan menyediakan tiga khemah tertutup untuk dijadikan sebagai saluran pengundian.

Pengarahnya, Zuhri Ismail berkata, khemah tersebut yang turut dilengkapi dengan penghawa dingin bakal ditempatkan di Parlimen Alor Setar, Baling dan Sungai Petani.

“Itu merupakan salah satu daripada pembaharuan yang dibawa kali ini. Pertambahan itu terpaksa dilakukan ekoran pertambahan jumlah pemilih di kawasan terlibat.

“Mungkin dulu cuma ada satu saluran tetapi kini terpaksa ditambah menjadi dua akibat pertambahan jumlah pemilih dalam keadaan pusat pengundian tersebut tidak mempunyai tempat yang sesuai. Disebabkan itu kami menyediakan khemah berkenaan dan Insya Allah, para pengundi esok akan dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam keadaan yang selesa,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia ketika mengadakan tinjauan persiapan menjelang hari pengundian esok di Stadium Sultan Abdul Halim yang akan dijadikan sebagai Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Bahagian Pilihan Raya Kuala Kedah di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, lebih 17,000 petugas SPR akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses pengundian di 673 pusat pengundian di negeri ini.

“Setakat ini semuanya berjalan baik dengan persediaan kami berada di tahap 100 peratus. Polis-polis yang bakal mengiringi kotak-kotak undi itu juga sudah diperkenalkan,” katanya. 

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com