Shahrizat Mahu ‘Tudung Merah’ Kunci Rapat ‘Pengundi Putih’


Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) diarah ‘mengunci’ pengundi ‘putih’ di kawasan masing-masing agar tidak dicuri pihak lawan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kaum wanita yang kebanyakannya menjadi undi penentu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, perlu diberi perhatian sebaik mungkin agar sokongan jitu mereka kepada BN tidak berubah disebabkan terpesong dengan dakyah dan kempen pembangkang.

“Tudung merah (Wanita Umno) ini amat digeruni lawan dan mereka tahu kita memegang pengundi putih yang boleh menentukan kemenangan luar biasa BN.

“Sebab itu saya mahu jentera Wanita, khususnya Umno tidak leka dan sentiasa berwaspada dengan usaha pembangkang untuk mencuri pengundi putih dalam jagaan masing-masing dengan pelbagai cara termasuk taktik berkunjung dari rumah ke rumah,” katanya ketika bertemu jentera Wanita Umno pada program Ziarah Sayang DUN Kuala Sentul di Felda Dahlia, Jengka 3, di Maran kelmarin.

Wanita Umno pegang kunci

Pertemuan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Sentul itu turut disertai calon bagi kerusi berkenaan Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga penyandang kerusi DUN tersebut.

Shahrizat berkata dengan kekuatan ratusan ribu jentera daripada keseluruhan 1.4 juta anggota, Wanita Umno sememangnya menjadi pemegang kunci kejayaan BN yang amat dicemburui pembangkang.

“Pembangkang tahu setiap jentera kita menjaga beberapa pengundi putih yang turut diperlukan mereka jika mahu menang dan lawan juga tahu kita tidak akan lepaskan kunci yang kini dipegang erat dengan mudah,” katanya.

Shahrizat turut memuji jentera Wanita yang tidak terikut-ikut cara pembangkang berkempen menggunakan fitnah dan memutar belit kebenaran bagi meraih simpati pengundi.

Dalam pada itu, beliau yakin Shahaniza yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Maran mampu mengekalkan kemenangan dengan pertambahan majoriti berdasarkan sokongan yang ditunjukkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri tersebut.

Sementara itu, Shahaniza yang dicabar calon PAS dan PKR yakin dapat memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih 5,000 berbanding 3,293 undi pada PRU13.

Dalam kunjungannya ke Parlimen Maran itu, Shahrizat turut meluangkan masa menziarahi calon BN bagi DUN Luit, Nurhidayah Mohamad Shahaimi yang baru melahirkan anak 31 hari yang lalu.-Bernama

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat
#JomBN

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com