Sentimen Anti-China Boleh Jejas Hubungan Baik


PUTRAJAYA: Pendirian sesetengah parti politik yang rasis dan cuba menyemarakkan sentimen anti-China boleh menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan China.

Presiden Persatuan Perniagaan China-ASEAN, Tan Sri Lim Gait Tong berkata, bahaya bagi Malaysia untuk mengambil pendirian seumpama itu yang bertentangan dengan trend global semasa dan juga masa depan.

“Sentimen anti-China yang cuba disemarakkan oleh pihak tertentu bukan satu tindakan yang baik untuk Malaysia dan juga ASEAN.

“Pendirian oleh sekumpulan ahli politik dan mereka yang rasis boleh menjejaskan hubungan baik antara China dan Malaysia dan ini adalah bahaya kepada negara.

“Jadi rakyat perlu melaksanakan hak mereka untuk mengundi bagi kestabilan dan mengekalkan hubungan baik dengan China,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan lebih 20 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana di sini, semalam.

Turut menyertai pertemuan itu ialah Presiden Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Pheng Yin Huah; Pengerusi Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Vincent Lau Lee Ming dan Presiden Persatuan Hokkien Malaysia yang juga Pengarah Urusan Bina Puri Holdings,Tan Sri Tee Hock Seng.

Dalam pada itu, Yin Huah berkata, hubungan baik antara Malaysia dan China perlu dikekalkan kerana ia penting kepada pembangunan ekonomi negara terutama dalam soal perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, masyarakat Cina sangat mengalu-alukan pelaburan dari China dalam projek di negara ini kerana ia bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah mempercepatkan proses pembangunan ekonomi negara.

“Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan China terutama sekali apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan kami juga bersetuju dengan pandangan beliau bahawa hubungan baik dengan China perlu dikekalkan.

“China juga sangat mementingkan hubungan antara kedua negara dan sebagai negara yang mempunyai jumlah perdagangan terbesar di rantau ini, China menerusi inisiatif One Belt, One Road (OBOR) sudah banyak memberi bantuan dalam pelbagai projek termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya.

Bagi Hock Seng pula, dakwaan sesetengah pihak konon ekonomi Malaysia terutama pelaburan dibuat menerusi beberapa projek mega, dikuasai oleh China adalah tidak tepat.

Beliau berkata, sebagai contoh 70 peratus tenaga kerja dan bahan mentah tempatan digunakan bagi Projek Laluan Rel Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dibangunkan China Communications Construction Company (CCCC).

“Ada pihak mendakwa projek ini dikuasai China, yang mana dakwaan itu tidak tepat.

“Bahan pembinaan yang digunakan adalah 70 peratus daripada bahan tempatan, termasuk pembinaan stesen adalah kontraktor tempatan.

“Selain itu, projek yang dibida oleh kontraktor dari China pada harga 10 peratus lebih rendah daripada kontraktor lain. Jadi ini juga menguntungkan negara kita.

“Mereka juga menggunakan pekerja tempatan, jurutera dan juru ukur bahan juga adalah pekerja tempatan, cuma pakar teknologi sahaja dibawa dari China,” katanya.

Sementara itu Lee Ming berkata, beliau gembira kerana Perdana Menyeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di dalam manifesto Barisan Nasional (BN).

“Saya harap selepas pilihan raya pengiktirafan terhadap UEC akan dapat direalisasikan kerana kita sudah cuba untuk dapatkan pengiktirafan UEC bertahun lamanya.

“Kami juga gembira kerana mempunyai pemimpin seperti Perdana Menteri yang turut menyokong kewujudan sekolah vernakular,” katanya.


#JomBN #BersamaBN #DahulukanRakyat #HebatkanNegaraku #PRU14 #TsunamiPHFitnah #GE14 #UndiBN #BR1M #ManifestoBN #HarapanPalsu #HarapanBohong #TolakDAP #PakatanDAP #SinsofMahathir #DosaDosaMahathir

Sumber: TV14


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com