Semua Jawatan UMNO Dipertandingkan - Annuar Musa


KOTA BHARU - Jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden UMNO akan dipertandingkan serentak di seluruh negara pada 30 Jun ini sebagaimana termaktub dalam peraturan parti itu.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 191 bahagian akan bersidang dan memilih pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

"Mereka yang ingin menawar diri untuk bertanding hanya perlu mendaftar secara dalam talian dalam tempoh lebih daripada dua minggu bermula awal Jun ini (bulan depan)

"Ini menjadikan UMNO parti yang paling terbuka di dunia dan sesiapa saja dalam kalangan ahli boleh bertanding apa jua jawatan termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan MT," katanya menerusi Facebook rasminya, malam tadi.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pemilihan jawatan bagi semua sayap parti iaitu Pemuda, Puteri dan Wanita juga diadakan serentak pada 23 Jun ini di seluruh negara.

"Sebagai parti pembangkang yang sangat berbeza peranannya kini, sudah pasti ahli mahu mencorakkan kepemimpinan seterusnya untuk diberi mandat memimpin.

"Kebetulan pula jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden sememangnya kosong. Kini terserah kepada yang empunya diri dan ahli," katanya.

Dalam entri berlainan di Facebook yang turut dimuat naik malam tadi, Annuar menasihatkan semua ahli supaya menjaga UMNO dengan baik kerana ia mewakili rakyat yang bukan sedikit.

"Jaga kepentingan Islam dan Bumiputera... jadi parti pembangkang yang beribawa serta berintegriti. Sokong yang baik, (manakala) tentang yang buruk diberkati jua," katanya.

Beliau turut menjelaskan seramai hampir 2.56 juta atau 21.15 peratus pengundi menyokong UMNO di 54 kerusi Parlimen seluruh negara.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com