Saya Percaya Pengundi Dapat Menilai Antara Batu Dan Permata - Calon BN DUN Kuah


LANGKAWI - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan positif pengundi di kawasan berkenaan akan sekali memberi kepercayaan kepada beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), esok.

Beliau berkata, pengundi di kawasan tersebut diyakini mampu menilai antara batu dan permata dengan tidak salah memilih wakil rakyat bagi menjaga kebajikan mereka sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Dalam masa sama, beliau juga menasihati pengundi supaya keluar awal bagi menjalankan tanggungjawab pada hari pengundian esok.

“Harapan saya kepada pengundi begitu positif dan berharap penduduk di sini sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya. Saya yakin, khidmat berterusan menjadi antara sebab mengapa UMNO dan BN terus kekal memerintah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Di DUN Kuah, menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandang, Nor Saidi yang bakal berhadapan calon PKR, Mohd. Firdaus Ahmad; Mazlan Ahmad, dari Pas dan seorang wakil Bebas, Mohamad Ratu Mansor.

Pada PRU-13, Nor Saidi berjaya menewaskan Ahmad Kassim dari PKR dan Zaflee Pakwanteh dengan majoriti 6,371.

Selain itu, Nor Saidi berkata, kebanyakkan penduduk di kawasan ini telah disantuni sepanjang tempoh kempen ini dan gerak kerja itu adalah kesinambungan sejak tempoh lima tahun lalu.

“Kita juga beruntung kerana Perdana Menteri begitu mengambil berat terhadap Langkawi dengan mengumumkan pelbagai bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan di pulau peranginan ini.

“Buatlah pilihan bijak bagi masa depan Langkawi dan dua kawasan DUN di pulau ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com