SAM Mahu MOM Teruskan Kebebasan Media Sukan


KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mendesak barisan kepimpinan baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya terus memberikan kebebasan kepada para petugas media sukan di negara ini.

Presidennya, Ahmad Khawari Mohd Isa berkata pihaknya mahu MOM lebih menghargai dan mengakui peranan petugas media sukan dalam menyampaikan informasi berkaitan sukan kepada khalayak umum.

“Ini kerana kami tidak mahu ada satu budaya yang MOM atau pegawai-pegawainya memberikan tekanan kepada petugas media untuk mengikuti agenda tertentu kerana SAM percaya media sukan Malaysia ialah media yang bebas.

“Kami mahu terus mempertahankan kebebasan itu demi kepentingan dan kebebasan sukan negara,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan MOM, yang baharu dipilih awal bulan ini, di Wisma OCM di sini, semalam.

Beliau berkata, Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut berkongsi formula hala tuju baharu MOM pada pertemuan itu.

“Menurut Mohamad Norza, MOM mahu berdiri sebagai badan berkecuali yang memerlukan sokongan semua pihak, terutamanya SAM,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata pihaknya telah menerima input daripada SAM dan berharap untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com