Salinan Laporan MyKad Hilang Boleh Digunakan Untuk Mengundi - SPR


KUALA LUMPUR - Pengundi yang kehilangan kad pengenalan masih boleh mengundi dengan membawa salinan laporan kehilangan kad pengenalan bergambar sebagai bukti pengenalan diri, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, pengundi juga boleh membawa lesen memandu, pasport terhad atau pasport antarabangsa yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan sebagai pengenalan diri yang mengandungi nama, nombor Kad Pengenalan dan gambar mereka.

Undi setiap rakyat Malaysia amat dihargai dan dalam pemerintahan demokrasi, tiada sesuatu  atau seseorang pun yang boleh menghalang rakyat daripada mengundi, katanya.

"Undi setiap orang adalah rahsia dan tak sesiapa pun boleh mengetahuinya melainkan pengundi itu sendiri yang memberitahu kepada yang lain siapa yang diundinya. Anda berhak memilih sesiapa yang anda suka," katanya Mohd Hashim kepada Bernama baru-baru ini.

Ditanya mengenai ramai pengundi khuatir berhubung nombor siri pada kertas undi yang kononnya bertujuan mengenal pasti pengundi, beliau sekali lagi menegaskan pengundi tidak perlu bimbang akan berlaku penipuan pada proses mengundi pada Rabu depan (9 Mei) kerana undi kekal rahsia.

Beliau menjelaskan cetakan nombor siri hanyalah untuk memudahkan petugas SPR membuat semakan dan pengiraan bilangan kertas undi, dan bukannya untuk mengenal pasti pengundi.

"Pada kertas undi tidak terdapat nombor siri dan untuk pengetahuan, selepas pengiraan kertas undi dan keputusan diketahui, kertas undi akan disimpan di tempat selamat selama 21 hari sekiranya terdapat pihak yang membuat petisyen dan memerlukan kiraan semula," katanya.

Tambahnya, selepas 21 hari, kertas-kertas undi itu akan dilupuskan dengan cara membakar dan disaksikan oleh pelbagai pihak.

Mengenai ada pihak yang menjalankan kempen untuk merosakkan undi, Mohd Hashim berkata  perbuatan tidak mengundi atau mahu merosakkan undi merupakan satu kerugian kerana undi itu adalah sesuatu hak yang berharga dan seseorang itu hanya dapat berbuat demikian sekali setiap lima tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata mana-mana majikan yang menghalang pekerja untuk menunaikan kewajipan mengundi boleh didenda RM5,000 dan penjara setahun mengikut subseksyen 25 Akta Pilihan Raya 1958.

Malah, tiada majikan boleh membuat potongan gaji atau saraan lain terhadap mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya penalti kerana tidak hadir kerja dalam tempoh berkenaan, katanya.- Bernama   


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com