Rusa Kepala Dua Tanda Kecacatan Hidupan Liar


KAJIAN terhadap seekor anak rusa berkepala dua adalah rekod terbaru dikira sebagai kes yang melibatkan kecacatan anggota hidupan liar.

Jurnal Sains American Midland Naturalist di Amerika Syarikat telah mengeluarkan kenyataan tersebut baru-baru ini yang disiarkan kepada umum.

Haiwan tersebut telah ditemukan oleh seorang pencari cendawan berhampiran Sungai Mississippi, Minnesota pada Mei 2016, lapor The Independent.

Lelaki terbabit segera memaklumkan kejadian tersebut pada jabatan berke­naan dan anak rusa yang mati ketika dilahirkan itu telah dibekukan melalui pelaksa­naan nekropsi.


Saintis hidupan liar Jabatan Sumber Asli Minnesota, Dr. Gino D’Angelo berkata, kejadian tersebut sangat unik dan menjadi kajian buat para saintis.

“Ia adalah luar biasa dan jarang berlaku. Daripada puluhan juta yang dilahirkan setiap tahun di Amerika Syarikat, mungkin ada kelainan yang berlaku di alam liar yang kita tidak tahu,” katanya yang juga penulis dalam jurnal American Midland Naturalist.

Beliau telah menggunakan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Pengimbasan To­mografi Berkompu­ter (CT Scan) ke atas anak rusa tersebut.

Penyelidikan itu mendapati anak rusa berkenaan memiliki kepala dan leher yang berasingan namun ia berkongsi pada satu badan.


Manakala organ dalaman, anak rusa tersebut mempunyai hati yang sama namun limpa dan saluran pencernaan adalah berasingan. Jantung yang berbeza tetapi terkandung dalam satu perikardium.

Ujian makmal yang dilakukan pada paru-paru rusa muda itu menunjukkan haiwan tersebut tidak pernah bernafas.

Sejak 1671, hanya 19 kes haiwan kembar yang disahkan berlaku di kalangan haiwan liar.

Terdahulu, terdapat dua kes anak rusa ekor putih berkepala dua yang dilaporkan tetapi ke­dua-duanya mati dalam kandu­ngan. 

Sumber: Mize


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com