Rumah Peserta Pencetus Ummah Terbakar


PUTRAJAYA - Rumah didiami peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Rozi Harun atau lebih dikenali sebagai PU Rozi terbakar dalam satu kebakaran di sini, awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi di Pangsapuri Putra Harmoni itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan penghuninya tiada di rumah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Md Hilman Abd Rashid berkata, pihaknya menerima laporan dari orang awam pada jam 5.41 pagi dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.




Katanya, laporan awal mendapati kebakaran membabitkan sebahagian kawasan di ruang tamu.

"Kami difahamkan, dua penghuni mendiami rumah berkenaan namun, ketika kejadian seorang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala, seorang lagi berada di surau berdekatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran dan kerugian yang dialami.

Md Hilman berkata, pihaknya mengesyaki besar kemungkinan kebakaran disebabkan suis utama di pangsapuri berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com