Rosmah Tegur Pihak Berkuasa


KUALA LUMPUR - Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berharap pihak berkuasa mematuhi undang-undang dalam melakukan siasatan untuk mengelakkan perbicaraan secara 'premature' atau pramatang oleh orang awam.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan ringkas yang dikeluarkan melalui firma guaman Tetuan Valen & Oh, tengah hari semalam.

"Kami merujuk kepada peristiwa yang berlaku baru-baru ini sehingga mencetus kekecohan media, dengan sengaja mensasarkan kepada keburukan bagi mencetuskan kemarahan orang awam kepada keluarga kami.

"Walaupun terkesan dengan situasi yang berlaku, kami telah dan akan terus membantu dalam sebarang soal siasat serta akan hadir sekiranya diperlukan oleh mana-mana pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, proses inkuiri yang dilalui mereka meragukan ekoran berlakunya kebocoran berkaitan siasatan ke media sosial, secara khususnya kepada butiran mengenai barangan yang dirampas.

"Pihak berkuasa tidak sepatutnya menyebabkan munculnya pelbagai ejekan atau sindiran di media sosial tetapi perlu mematuhi dan bersikap profesional dalam menjalankan tugas," katanya.

Kenyataan itu disahkan oleh peguam, M Puravelan, ketika dihubungi sebentar tadi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com