RM150 Juta Akan Dipohon Bina Tebatan Banjir Di Kulim


KULIM – Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan memohon peruntukan berjumlah RM150 juta bagi membina satu tebatan banjir baharu untuk mengatasi masalah banjir yang kerap kali melanda kawasan daerah Bandar Baharu dekat sini.

Beliau berkata ia adalah langkah jangka panjang bagi mengatasi lapan ‘hot spot’ kawasan banjir di daerah itu termasuk satu daripadanya di Kampung Teluk Sera yang mengalami banjir kilat pada petang Jumaat lepas.

“Saya sudah diberikan taklimat oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini dan sudah mempunyai kertas kerja lengkap yang mana hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada pihak (kerajaan) persekutuan bagi permohonan kelulusan,” katanya kepada Bernama selepas melawat mangsa banjir kilat di Maktab Mahmud Bandar Baharu semalam.

Kejadian banjir kilat Jumaat lepas itu menyebabkan peralatan persekolahan termasuk buku, pakaian dan alat bantuan mengajar lebih 60 pelajar di sekolah tersebut terjejas.

Saifuddin Nasution berkata walaupun Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Kerian berfungsi dengan baik tetapi ia masih tidak dapat menampung kapasiti air hujan sejak kebelakangan ini.

“Saya jadikan RTB baharu ini sebagai projek susulan kerana kawasan ini semakin membangun…walaupun hanya banjir kilat dan setakat ini tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa, ia masih menyusahkan penduduk,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com