RM10,000 Bantu 50 Isteri Nelayan, Ibu Tunggal Tambah Pendapatan - Sallehuddin


SUNGAI PETANI - Sejumlah RM10,000 diperuntukkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu kira-kira 50 isteri nelayan dan ibu tunggal di kawasan Kuala Muda mengusahakan produk hiliran sebagai sumber pendapatan tambahan keluarga.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehuddin Hassan berkata pihaknya mendapati golongan wanita yang terdiri daripada isteri nelayan dan ibu tunggal di kawasan Kuala Muda ini, aktif dalam mengusahakan produk hiliran seperti ikan kering.

"Mereka ini turut dikenali sebagai kumpulan wanita nelayan dan kementerian telah memutuskan untuk membantu dengan memberi sedikit peruntukan untuk mereka meneruskan usaha menghasilkan produk hiliran seperti ikan kering...kita juga akan sokong mereka termasuklah dari segi proses pembungkusan dan latihan.

"Terdapat kira-kira 40 hingga 50 orang yang bergerak aktif dalam aktiviti ekonomi di Kuala Muda dan harapan kita agar mereka ini dapat membantu rakan-rakan suri rumah lain yang belum terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Touch Point Pengukuhan Agromakanan Dan Pemerkasaan Nelayan Kawasan Kuala Muda di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) Tikam Batu, di sini, kelmarin.

Sementara itu, pada majlis sama beliau turut menyampaikan elaun sara hidup kepada 717 nelayan sekitar kawasan Kuala Muda, yang mana masing-masing menerima elaun antara RM200 hingga RM300.

Sementara itu, beliau berkata, program Touch Point Pengukuhan Agromakanan itu terbukti berupaya meningkatkan pendapatan golongan nelayan sehingga RM2,000 atau RM3,000 sebulan.

"Program Agromakanan ialah program 'touch point' kementerian untuk membantu golongan-golongan sasar dalam kalangan nelayan yang kurang berkeupayaan, meningkatkan peralatan mereka...tadi kita bagi pukat kepada nelayan yang agak susah.

"Bantuan ini dapat meningkatkan pendapatan nelayan, secara purata antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, tetapi itu bergantung kepada musim, jika elok, lagi tinggi pendapatan yang mereka peroleh," katanya.

Menurutnya, sebahagian besar nelayan di kawasan Kuala Muda tergolong dalam kumpulan B40 serta memiliki peralatan yang sudah lusuh.

"LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) negeri telah membuat saringan untuk memilih nelayan yang aktif dan layak...sumbangan peralatan diberi berdasarkan keperluan.

"Kita harap dengan sumbangan ini, mereka dapat meningkatkan hasil memandangkan pada kebiasaannya jika peralatan sudah lusuh, sukar untuk mereka turun selalu ke laut apatah lagi memperoleh pendapatan," katanya.- BERNAMA
   

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com