Remaja 16 Tahun Dari Baling Berhenti Sekolah Demi Ibu, Kakak


BALING  - "Sudah dua kali saya berhenti sekolah demi emak dan kakak," kata Siti Nur Sakinah Amaluddin.

Remaja berusia 16 tahun dari Kampung Charok Beras, Mukim Kupang terpaksa menjaga ibunya, Rozita Ali, 46, yang menghidap kencing manis, buah pinggang, saraf dan paru-paru sejak setahun lalu.

Pada masa sama, Siti Nur Sakinah perlu berkorban untuk kakaknya, Siti Nur Jamilah,18, yang akan menyambung pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, bulan depan.

"Tahun lalu, saya hanya belajar tiga bulan sahaja dan tidak sempat menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana memberi peluang kepada kakak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya bergilir dengan kakak menjaga dan mengurus emak yang terlantar, saya berhenti sekolah untuk sementara waktu supaya kakak dapat menduduki peperiksaan SPM.

"Alhamdulillah keputusan kakak amat membanggakan apabila memperoleh 7A dalam SPM dan ditawar menyambung pelajaran," katanya.

Siti Nur Sakinah berkata, pada tahun ini, dia hanya sempat belajar lima bulan kerana memberi peluang kepada Siti Nur Jamilah belajar di UniSZA.

"Hanya kami berdua sahaja bergilir menjaga emak sepenuh masa kerana abang dan kakak yang lain turut menyambung pelajaran, jadi sebagai anak bongsu saya terpaksa lakukan demi masa depan emak.

"Saya juga menjaga Tok Wan (Ali Itam, 80) yang uzur kerana diserang angin ahmar sejak 15 tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, Siti Nur Sakinah tekad menduduki peperiksaan SPM tahun depan kerana semangat untuk belajar tidak pernah luntur.

Katanya, kakaknya juga kerap ponteng sekolah sebelum ini, namun berjaya kerana belajar bersendirian di rumah sambil menjaga ibu.

"Rakan sekolah turut membantu memberi bahan bacaan dan ulangkaji selain guru memberi semangat kerana mereka tahu kehidupan keluarga kami," katanya.

Sementara itu, Siti Nur Jamilah berkata, dia akan meneruskan pengajian untuk membalas jasa ibu dan adik.

"Demi emak dan adik, saya tidak akan mengecewakan mereka meskipun kehidupan kami susah namun hanya ilmu sahaja yang akan mengubah hidup kami," katanya yang mengambil jurusan perakaunan di universiti berkenaan.

Siti Nur Jamilah berkata, ibunya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan bagi menampung bekalan ubat dan keperluan harian.

Katanya, dia bersyukur ada individu bermurah hati membiayai yuran pendaftaran memasuki UniSZA.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 152040525188 atas nama Siti Nur Jamilah.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com