Ramadhan Sertai Kedah


KOTA BHARU - Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan penjaga gol pasukan, Ramadhan Hamid bakal menyertai pasukan Kedah pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas mengambil kira kemahuan serta masa depan pemain berusia 24 tahun itu.

"Ya Ramadhan sah akan keluar dari pasukan ini dan hari ini KAFA akan membuat surat pelepasan kepadanya untuk menyertai Kedah.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan dipersetujui antara kedua pihak dan dia (Ramadan) juga seorang pemain yang boleh bertolak ansur.

"Dia mahu beraksi dan dia beritahu kalau dia masih bersama Kelantan pun dia jarang dapat diberi peluang, jadi kita terima kehendaknya untuk berhijrah ke Kedah," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Bibi Ramjani turut memaklumkan pihaknya memanfaatkan jendela perpindahan kedua ini dengan mengikat pemain pertahanan muda, Ahmad Haziq Fuad dari Marcerra Kuantan FA.

"Kita mengikat kontrak seorang pemain tempatan untuk pasukan yang bermain di posisi pertahanan, Ahmad Haziq.

"Ini juga bagi memantapkan lagi bahagian pertahanan memandangkan pasukan masih memerlukan pemain pertahanan. Jadi kita harap kemasukan pemain muda seperti Ahmad Haziq memberi kesan positif terhadap pasukan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com