Rakyat Selangor Yakin BN Bangun Rumah Mampu Milik


TANJONG KARANG – Rakyat Selangor yakin kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) akan dapat memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik termasuk memenuhi hasrat mereka melihat lebih banyak pelaksanaan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Ia selaras dengan Manifesto BN Selangor yang mahu membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini sekiranya parti itu berjaya memerintah Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini, berikutan kegagalan kerajaan negeri memenuhi kehendak rakyat dalam perkara itu.

Salaman Terek, 73, berkata projek perumahan mampu milik seperti pangsapuri dan flat adalah antara keperluan terpenting rakyat di negeri ini.

“Rumah teres sebagai rumah mampu milik mungkin agak sukar kerana ia memerlukan tanah yang luas. Jika mewujudkan pangsapuri atau flat mampu milik, sekurang-kurangnya mereka yang gajinya tidak besar dapatlah memiliki rumah sendiri. Itu adalah satu nikmat,” katanya kepada Bernama di sini.

Salaman yang berasal dari Tanjong Karang turut menyuarakan pandangan supaya projek perumahan rumah mampu milik itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar tetapi juga perlu diperbanyakkan di kawasan luar bandar.

Pembinaan rumah mampu milik di luar bandar juga akan memberi peluang kepada golongan muda di kampung untuk turut sama merasai memiliki rumah sendiri seperti golongan muda di bandar, katanya.

“Buat masa ini, saya tidak nampak pun projek perumahan mampu milik oleh kerajaan negeri di kampung-kampung di Tanjong Karang dan kawasan sekitarnya termasuklah di Kuala Selangor, Sungai Besar, Sekinchan dan lain-lain,” katanya.

Hanya yang boleh dilihat adalah projek-projek perumahan mampu milik di bawah kerajaan persekutuan termasuk oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, katanya lagi.

Pekerja swasta dikenali sebagai Nabilah, 38, pula menyifatkan pemilikan kediaman adalah suatu keperluan dan bukan kehendak semata-mata.

“Kita mahukan satu pentadbiran yang lebih baik selepas ini bagi memenuhi hasrat kami, bagi saya buatlah rumah kecil tetapi dalam kuantiti banyak, jadi rakyat yang tidak mampu boleh beli sebab rumah ini asas bagi sesebuah keluarga,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sampai bila penduduk di negeri ini perlu menyewa rumah.

Azurun Salamon, 33, juga bersetuju bahawa rumah mampu milik terutamanya yang berharga sekitar RM100,000 tidak banyak dibina di negeri ini.

“Rumah di pinggir bandar contohnya seperti di Sungai Buloh dan Gombak pun sudah mencecah lebih RM300,000 bagi sebuah rumah teres bersaiz sederhana, jikalau di tengah bandar raya pula mencecah jutaan ringgit.

“Jadi kalau ada pilihan lain yang mana rakyat mampu dan boleh beli, saya pasti mereka tidak kisah daripada jenis apa, janji rumah atas nama sendiri,” katanya.

Antara aku janji dalam Manifesto BN Selangor adalah menyusun semula semua anak syarikat kerajaan negeri pimpinan pembangkang yang menjalankan projek perumahan berikutan kegagalan mereka menyediakan rumah mampu milik di negeri ini dalam tempoh 10 tahun pentadbiran mereka.  - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com