Rakyat Kedah Anggap BR1M Rahmat Ringankan Beban Isi Rumah, Kecewa Di Hina Mokhzani


ALOR SETAR – Halimah Dahaman bekerja sebagai pembantu gerai di kaki Gunung Jerai, Gurun, dan dengan gaji harian RM30, dia berterima kasih atas Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disifatkan suatu rahmat kerana dapat dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan dapur.

Dalam keadaan suaminya yang tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan manakala anak lelakinya masih bersekolah di tingkatan lima, Halimah, 58, bersyukur kerana sungguhpun bagi sesetengah orang jumlah itu tidaklah seberapa, namun bagi dia sekeluarga, sumbangan itu sememangnya banyak membantu.

“Memang bagi orang lain yang banyak duit, duit BR1M ini tidak banyak mana, tetapi bagi saya dan suami memang sangat membantu kami beli barangan keperluan dapur. Kami tidak simpan pun duit BR1M ini, memang belanja sepenuhnya untuk barang dapur,” katanya.

Siti Fatimah Yusof, 37, yang juga bekerja sebagai pembantu gerai di kaki Gunung Jerai, berkata BR1M sememangnya sangat membantunya sekeluarga pada saat memerlukan wang bagi membeli barangan keperluan memandangkan suaminya hanya bekerja kampung tiada pendapatan tetap.

“BR1M ini dapat atas nama suami saya sebab dia ketua keluarga. Memang bantu ringankan beban saya sekeluarga di kala perlukan duit, seronok sangat dapat BR1M ini,” katanya yang sedang mengandung lima bulan untuk menimang cahaya mata kedua. Anak perempuan pertamanya yang berumur enam tahun kini di tadika.

​​​​​​​Siti Fatimah berkata kerajaan sangat prihatin kepada golongan memerlukan menerusi pemberian bantuan itu dan berharap BR1M dapat diteruskan dalam usaha membantu mereka mendepani cabaran kos sara hidup semakin meningkat.

Mardiyana Musa, yang bekerja di kedai buku di sebuah pasar raya di Gurun, berkata biarpun masih bujang dan tidak terikat dengan komitmen berkeluarga namun baginya, BR1M adalah penyelamat di waktu kecemasan.

“Saya dapat BR1M ini akan simpan separuh, lagi separuh guna untuk harian. Macam orang bujang seperti saya ini simpan untuk kecemasan sebab saya ada kereta ulang-alik pergi kerja, kalau jadi apa-apa sekurang-kurang ada jugak duit,” katanya.

Mardiyana, 27, berkata dia bersyukur kerana layak menjadi penerima bantuan itu kerana menganggap BR1M umpama wang tambahan selain gaji sendiri dan berharap kerajaan meneruskan pemberian BR1M berikutan kos sara hidup sekarang.

Sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan kerajaan untuk bayaran kepada 7.2 juta penerima BR1M tahun ini dengan bayaran peringkat pertama bermula pada 26 Februari lepas, peringkat kedua pada Jun ini dan peringkat ketiga pula pada Ogos depan.

​​​​​​​Pada pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tambahan bantuan itu sekiranya kerajaan Barisan Nasional terus diberikan mandat menerajui negara ini selepas pilihan raya umum itu.

Antara pengumuman perdana menteri yang juga Pengerusi BN itu adalah bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BR1M bulan Jun dan Ogos 2018 berjumlah RM400 digandakan kepada RM800 sekali gus jumlah keseluruhan meningkat daripada RM1,200 kepada RM2,000.

Sementara itu, bagi individu bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang telah menerima BR1M RM450 pada bulan Februari lalu, perdana menteri berjanji akan memberikan tambahan RM150 lagi pada bulan Jun ini menjadikan jumlah keseluruhan RM600.

Perdana Menteri turut mengumumkan satu lagi kategori baharu BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan yang akan menerima sebanyak RM700 dengan dibayar dua kali iaitu RM350 masing-masing pada Jun dan Ogos tahun ini. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com