Raja Perlis Beri Sebab Kenapa Tidak Lantik Ismail Sebagai MB


Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, baginda tidak melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar sebelum ini, kerana bimbang pentadbiran kerajaan negeri menjadi boneka kepada pihak lain.

Baginda bertitah, kebimbangan itu terbukti apabila sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) tidak hadir semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar hari ini, meskipun jemputan telah diberikan sejak dua hari lalu.

“Beta bimbang jika Datuk Ismail (Kassim) dilantik, Menteri Besar akan menjadi puppet (boneka) dan dikawal oleh kuasa luar.

“Seperti mana yang kita dengar lafaz sumpah oleh Menteri Besar, beliau tidak boleh bincang dengan mereka di luar (ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri),” titah baginda.

Dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar di Istana Arau di sini, sebanyak sembilan ADUN BN tidak hadir dipercayai kerana memboikot pelantikan Azlan.

Kesemuanya dipercayai kini berada di satu lokasi rahsia di ibu negara sejak semalam.

Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya bertitah, dalam Perlembagaan menyatakan kuasa melantik jawatan Menteri Besar adalah tertakluk kepada baginda dan bukannya menerima cadangan yang dikemukakan wakil-wakil rakyat.

Baginda juga secara sinis bertitah, wakil-wakil rakyat di negeri ini lebih mementingkan isu merebut jawatan Menteri Besar berbanding untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Malah baginda yang menzahirkan rasa dukacita terhadap situasi itu bertitah, wakil-wakil rakyat di negeri ini lebih patuh kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berbanding Presiden parti itu.

“Perlu diingat bahawa Perlis kini adalah negeri pembangkang. Pendapatan kita defisit dan bergantung kepada kerajaan Pusat tetapi wakil-wakil rakyat kita tidak fikir perkara ini mustahak,” titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah, mengakui wujud kelemahan dalam pentadbiran Menteri Besar tetapi perkara itu boleh diperbaiki kerana apa lebih penting adalah kesinambungan pembangunan negeri untuk kebaikan rakyat secara keseluruhannya.

“Sepatutnya, selepas pilihan raya umum (PRU), Menteri Besar melantik segera Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bersidang mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat dan pembangunan negeri, tetapi sebaliknya itu tidak berlaku kerana ada yang mempunyai agenda tertentu,” titah baginda.-

 Sumber : UTUSAN

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com