'Rafizi Pembohong Dan Penghasut' - Arul Kanda


SUNGAI SIPUT - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, disifatkan bukan sahaja sanggup berbohong, malah sanggup memanipulasi usaha kerajaan menyampaikan maklumat bagi mengelak salah faham orang ramai berhubung isu syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, menyifatkan Rafizi sebagai pembohong dan penghasut, malah sikapnya itu sudah terbukti apabila bekas Ahli Parlimen Pandan itu, dituduh di mahkamah, bukan hanya dalam satu kes tetapi beberapa kes lain.

"Rafizi sendiri mengakui bahawa dia adalah penghasut dan kini ada 14 saman yang dikemukakan pelbagai pihak terhadapnya.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk menerangkan situasi sebenar berhubung 1MDB dan perbincangan secara terbuka diadakan supaya orang ramai boleh berinteraksi dengan kami.

"Sekiranya apa yang dikatakan pembangkang itu benar, saya tidak perlu menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan," katanya selepas program Bicara Isu-Isu Semasa Negara di Arena Sungai Siput, di sini semalam.

Terdahulu, Rafizi dalam satu klip video yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini, mendakwa tindakan Arul Kanda mengadakan sesi jelajah itu sebahagian daripada alat kempen oleh Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Arul Kanda berkata, setakat ini beliau sudah mengadakan jelajah di 30 lokasi bagi memberi penerangan kepada orang awam berhubung isu 1MDB, namun tiada seorang pun wakil pembangkang hadir mendengar penjelasan atau mengemukakan soalan, biarpun sudah dijemput.

"Jika mereka berkata benar, mengapa tidak datang pada sesi dialog terbuka yang dibuat? Saya juga ada ke kawasan pembangkang seperti di Shah Alam dan Subang Jaya.

"Saya amat mengalu-alukan kedatangan mereka untuk menyertai perbincangan, memandangkan program ini adalah anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

"Esok (Khamis) saya akan ke Nibong Tebal dan Balik Pulau di Pulau Pinang. Mereka dijemput untuk hadir," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta supaya semua pihak terutama pembangkang berhenti mempolitikkan isu 1MDB.

"Biarpun banyak cubaan untuk memperbetulkan salah faham terhadap 1MDB, namun ada saja pihak yang cuba mewujudkan keraguan dalam kalangan orang ramai," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com