Rafizi Diminta Henti Perlekeh Orang Lain – PPBM


KUALA TERENGGANU – Berhenti perlekeh mana-mana pihak dan tumpu kepada program pembinaan semula negara seperti yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Datuk Razali Idris.

Beliau berkata, pada masa ini rakyat ingin melihat keutuhan, kesepakatan serta unsur kesatuan dalam pimpinan kerajaan yang didukung oleh pelbagai parti komponen PH.

“Disebabkan itu sesiapa pun diharap tidak berlagak, angkuh dan mendabik dada dengan memperlekeh sumbangan pihak lain yang turut sama menyumbang kepada kejayaan PH pada PRU14 lalu,” katanya.

Razali memberi reaksi kepada kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa bahawa kemenangan PH pada PRU14 bukan disebabkan populariti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi faktor Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan isu kenaikan kos sara hidup.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Razali menegaskan sekarang adalah masa untuk bina semula negara seperti yang terkandung dalam moto Invoke, pusat penyelidikan tidak bermatlamatkan untung yang dikendalikan oleh Rafizi.

Namun Rafizi sendiri tidak mengendahkan perkara itu dan mengambil jalan belakang yang boleh mencetuskan krisis antara komponen PH, kata Razali.

“Beliau kena ingat bahawa rakyat berani berubah selepas melihat kemantapan dan kesepakatan yang ditonjolkan dalam PH yang diketuai oleh Dr. Mahathir. Alhamdulilah dengan formula yang dirungkai beliau kita sudah berjaya dalam PRU14,” kata Razali.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat sedang memerhati dan (pendirian) rakyat juga mampu berubah sekiranya PH tidak dapat memperjuangkan kepentingan mereka.

“Saya fikir sebahagian besar kemenangan PH tidak dapat dinafikan terletak pada strategi Dr. Mahathir yang berjaya mendapatkan persetujuan semua parti sebelum PRU14 dan ini merupakan sejarah pembangkang yang tidak pernah dikecapi sebelum ini.

“Kenyataan Rafizi sebelum ini yang mengatakan bahawa PAS tak dapat satu kerusi pun melalui kajian Invoke tapi akhirnya (PAS) dapat dua negeri dengan menang majoriti 2/3 dan hampir memerintah Kedah. Ini adalah satu tamparan,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com