Pyongyang Mula Musnahkan Tapak Ujian Punggye-ri


PYONGYANG - KOREA UTARA. Imej satelit komersial menunjukkan Korea Utara telah mula memusnahkan siri kemudahan bawah tanah yang digunakan untuk ujian nuklear pada masa lalu.

Blog pemantau aktiviti itu, 38 North, hari ini mengeluarkan imej menunjukkan Pyongyang telah mula merobohkan tapak ujian Punggye-ri di timur laut negara tersebut.

"Beberapa bangunan utama dan terowong telah dimusnahkan atau dirobohkan," menurut penulis blog itu.

Akhir minggu lalu, Korea Utara mengumumkan ia akan menutup kemudahan tersebut yang pernah digunakan untuk enam ujian nuklear pada 23 dan 25 Mei ini.

Difahamkan, pihak berkuasa Korea Utara juga akan membenarkan wartawan dari beberapa negara membuat liputan acara tersebut.

Pengumuman itu dibuat selepas pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un bersetuju untuk menyahnuklear ketika pertemuan bersejarah dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada akhir bulan lalu.

Sebelum ini, Jong-un memberitahu Punggye-ri telah 'melakukan tugasnya' manakala saintis China membuat kesimpulan kemudahan itu tidak dapat dipertahankan kerana letupan nuklear telah membuka lubang di gunung tersebut dan menyebabkan ia runtuh. 

Sumber: NPR

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com